Khairul Azhan Wira Tok Gajah
3 March, 2015
Pemain Pahang meraikan kejayaan menyingkirkan JDT pada pusingan kedua
Piala FA di Kuantan, semalam. – UTUSAN/AHMAD ZAKKIJILAN
Matias Conti (tengah)diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan
Pahang dalam aksi Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
KUANTAN - KHAIRUL Azhan Md. Khalid muncul wira Tok Gajah apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu Pahang
menyingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada saingan Piala FA di Stadium Darul Makmur, semalam.
Pahang yang turun selaku juara bertahan menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas masa penuh permainan terikat 1-1.
Khairul Azhan yang tenang menjaga gawang, menyelamatkan ten¬dangan Luciano Figueroa dan Junior Eldstal, sekali gus membawa Pahang
menempah pertemuan de¬ngan MISC-MIFA di pusingan ketiga.
Sebulan selepas tumpas 0-2 kepada JDT dalam perlawanan sumbangsih di Larkin, kemenangan ini melunaskan dendam Tok Gajah.
Sepakan penalti Pahang berjaya disempurnakan Matias Conti, Damion Steward, Zeshan Rehman dan Mohd. Razman Roslan, manakala
penalti JDT dijaringkan Safee Sali dan Hariss Harun.
Dalam perlawanan itu, tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-20 apabila Conti melakukan tandukan deras menewaskan
penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran cantik orang besi Pahang, Dickson Nwakame yang me¬lakukan gerakan solo menewaskan
pertahanan lawan sebelum membuat hantaran yang disambar Conti yang tidak dikawal di depan gawang lawan.
Bermula separuh masa pertama, Pahang tidak menunggu lama de¬ngan asakan berterusan dilakukan ke kubu lawan dan beberapa kali
berjaya memperoleh sepakan penjuru. Minit ke-15, Pahang memiliki peluang cantik untuk membuka jaringan, namun tolakan pemain tengah, R. Gopinathan yang berjaya melepasi
pertahanan JDT, Marcos Antonio Elias Santos dapat ditepis oleh Mohd. Farizal.
Selepas itu, kedua-dua pasukan saling melakukan serangan de¬ngan Pahang lebih mendominasi permainan, namun JDT turut memiliki
peluang me¬nyamakan kedudukan dan pada minit ke-38 tandukan Mohd. Fadli Shas melepasi gawang.
Taktik Bojan Hodak memasukkan Figueroa pada minit ke-78 bagi menggantikan Mahali Jasuli berjaya menambahkan bisa serangan Harimau Selatan.
Pada minit ke-80 JDT akhirnya mendapatkan gol penyamaan yang dijaringkan Hariss melalui rembatan deras menewaskan Khairul Azhan.
Turut menyaksikan perlawanan itu, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah dan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Original source - Mohamad Shofi Mat Isa
www.utusan.com.my