Indra tuntut rakan bangkit
3 March, 2015
Kuala Lumpur: Penyerang skuad FELDA United Indra Putra Mahayuddin yakin rakan sepasukannya akan bangkit memburu kemenangan pada aksi Liga Super menentang LionsXII, sekali gus mengukuhkan cengkaman di puncak liga.
Selepas Selangor menunjukkan mereka jalan keluar dalam saingan Piala FA Sabtu lalu, Indra yang juga tonggak penting skuad kebangsaan ketika Piala AFF Disember lalu menyeru rakan sepasukan supaya fokus dan mengekalkan rentak konsisten agar impian mengutip tiga mata maksimum menjadi realiti.
“Apa yang sudah berlaku dalam Piala FA, harus dilupakan segera dan kembali fokus kepada liga. Memang sedih kalau hendak diikutkan kerana sudah mendahului 2-0, tapi nampaknya bukan rezeki kami.
“Mungkin ada hikmah supaya kami tampil lebih fokus selama 90 minit. Perjalanan liga masih jauh dan apa-apa pun boleh berlaku, cuma kami mesti segera bangkit untuk fokus dan mengekalkan permainan terbaik.
“Bagi saya kekalahan kepada Selangor menguatkan semangat kami. Saya harap kami dapat bangkit dan berjaya dalam saingan liga,” katanya semalam.
FELDA yang kini memimpin carta Liga Super dengan tujuh mata berkongsi kedudukan teratas dengan Perak tetapi memiliki kelebihan jumlah gol.
Jelas Indra, pertembungan dengan LionsXII sememangnya sukar lantaran skuad bimbingan Fandi Ahmad itu memiliki kepakaran menjaringkan gol menerusi situasi bola mati.
“Semua orang tahu mengenai kekuatan LionsXII yang bagus ketika situasi sepakan percuma atau sudut.
“Untuk itu, bahagian pertahanan kami akan mengawasi dengan ketat dan akan cuba menghalang mereka daripada mendapatkan gol menerusi situasi itu,” katanya.
Original source - Mohd Firdaus Hashim, Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur