MAKLUMAT TERKINI

The Fighters beri Wilson amaran

Pamer aksi baik atau bakal digugurkan
5 Mac, 2015

Edward Junior Wilson


KUALA LUMPUR - Penyerang import Felda United, Edward Junior Wilson bakal ditamatkan kontrak sekiranya gagal mempamer aksi cemerlang seperti musim lalu, tegas pengurus The Fighters, Datuk Jamaludin Ahmad.

Ia berikutan aksi hambar pemain kelahiran Liberia itu dalam dua perlawanan sebelum ini, terutamanya pada Piala FA menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu.

Kekalahan di tangan skuad Red Giants menerusi penentuan sepakan penalti 2-4 me­nguburkan kemaraan Felda dalam kancah Piala FA edisi ke-26. Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa sebenar permainan.

Musim lalu, buat julung kalinya, Felda muncul pasukan berstatus kelab yang berjaya mara ke slot akhir sejak ia diperkenalkan pada tahun 1990.

“Kita telah memberi amaran bertulis dan lisan kepada Edward berikutan dia tidak bermain pada tahap keupayaan sebenar.

“Ini satu peringatan buat pemain tersebut. Jika dia masih tidak mempamerkan aksi sebenarnya, pihak pengurusan akan mengambil tindakan tegas dengan mengugurkan pemain itu daripada pasukan.

“Kita dapat lihat banyak peluang yang dipersia-siakan pemain itu dan kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan menentang Selangor,” katanya kepada ketika ditemui semasa sesi latihan Felda di Bangi, Selangor, semalam.

Sebelum ini, pemain berusia 31 tahun itu bertekad untuk mencipta banyak jaringan bagi menepati misi peribadinya iaitu me­rangkul anugerah Kasut Emas atau sekurang-kurangnya melepasi rekod tahun lalu dengan 30 jaringan.

Wilson yang juga bekas pe­nyerang kelab Indonesia, Semen Padang meledak 19 gol dalam sai­ngan Liga Perdana musim lalu dan 30 keseluruhan.

Sementara itu, Jamaludin turut membayangkan akan mencari pengganti pe­nyerang import tersebut apabila jendela perpindahan dibuka April nanti jika tiada peningkatan dalam perlawanan akan datang.

“Sebagai pemain import Edward sepatut memiliki kehebatan lebih daripada pemain tempatan. Kita akan pantau prestasinya dari semasa ke semasa.

“Jika tidak memuaskan Felda akan mencari pengganti pemain itu yang pasti lebih baik daripadanya,” jelasnya.

Felda masih mengungguli kedudukan Liga Super setelah menang dua dan seri satu sepanjang tiga perlawanan tahun ini dengan mengumpul tujuh mata setakat ini.

Original source - MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI, Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur