Awas UiTM Perlis!
5 Mac, 2015
Kuala Lumpur: Universiti Multimedia (MMU) menerima perkhabaran gembira apabila dipilih menggantikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bakal menentang UiTM Perlis pada aksi Piala Sumbangsih yang juga pembuka tirai Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2015 di Kangar, Sabtu ini.
Piala Sumbangsih sepatutnya menemukan UKM yang juga juara Piala Menteri Pelajaran Malaysia (KPM) 2014 dengan UiTM Perlis selaku juara Divisyen Satu musim lalu, tetapi penganjur menerima permohonan UKM untuk tidak terbabit dalam Liga IPT musim ini kerana mahu memberi tumpuan kepada saingan Piala FAM.
Justeru, MMU dipilih sebagai ganti kerana pasukan itu menjuarai Divisyen Dua musim lalu sekali gus berhak kembali beraksi dalam Divisyen Satu musim ini.
Liga IPT membabitkan empat divisyen dan berlangsung serentak di pelbagai venue seluruh negara.
“Slot UKM dalam Divisyen Satu dikosongkan kerana mereka berjanji kembali musim depan.
Kita pilih MMU sebagai pengganti untuk aksi Piala Sumbangsih kerana mereka juara Divisyen Dua musim lalu,” kata Penyelaras Media IPT Nur Ekmal Bukhary.
Pemenang Piala Sumbangsih akan mendapat tiga mata, sama seperti saingan Liga Malaysia.
Selain menjuarai Divisyen Dua, MMU turut melakar rekod cemerlang apabila meraih Piala FA yang diperkenal buat kali pertama musim lalu selain mengungguli Piala Futsal KPM dan tempat keempat Piala Menteri KPM.
Divisyen Satu Liga IPT 2015 menampilkan UiTM Perlis, Politeknik Kota Bharu (PKB), UiTM Shah Alam, Kolej Komuniti Kedah (KK Kedah), Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang), MMU dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Selain pertemuan MMU dan UiTM Perlis di Stadium UiTM Perlis, perlawanan lain yang turut berlangsung Sabtu ini membabitkan KK Kedah yang akan menentang KK Pahang (Stadium Mini Jitra) dan UiTM Shah Alam melawan UniSZA (Stadium UiTM Shah Alam).
Ketiga-tiga perlawanan bermula jam 4.45 petang.
Original source - Harian Metro
www.hmetro.com.my