MAKLUMAT TERKINI

Kelantan waspada perangkap Karathu

5 Mac, 2015

JURULATIH Kelantan, George Boateng (kanan) mengawasi latihan pemain
The Red Warriors di Kota Bharu semalam dalam persiapan menghadapi
Perak pada aksi Liga Super, esok. – Utusan/Wahidin Salim


KOTA BHARU – Kelantan akan berwaspada terhadap 'perangkap' yang bakal digunakan oleh pengendali Perak, Datuk M.Karathu dalam aksi Liga Super di Stadium Ipoh, esok.

Kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Radzi berkata, jurulatih berusia 73 tahun itu cukup me­ngenali karakter beberapa pemain Kelantan memandangkan dia pernah memimpin pasukan tersebut empat tahun lalu.

Sehubungan itu, dia mahu rakan-rakan sepasukannya fokus pada perlawanan tersebut yang dijangka bakal berlangsung sengit.

"Datuk Karathu seorang jurulatih yang bukan sahaja mempu­nyai taktikal licik, malah beliau kini memiliki himpunan pemain hebat dan berkemahiran tinggi.

"Mereka mempunyai adunan pemain yang mantap iaitu 'orang lama' kaya dengan pengalaman dan muda yang terkenal dengan corak pemainan pantas," katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, Kelantan menghormati Karathu dan pasukannya, namun tidak akan memberi laluan mudah kepada Perak pada perlawanan itu nanti.

Badhri atau lebih dikenali de­ngan jolokan Piya berharap rakan-rakan dapat meneruskan momentum kemenangan seperti mana yang diperagakan ketika menum­paskan Sarawak pada saingan Piala FA.

Katanya, Perak mungkin masih kebal dengan rekod tanpa kalah, namun Kelantan tetap mahu mencuri mata pada pertemuan tersebut.

"Seperti biasa kita turun dengan misi tiga mata. Berdasarkan kepada prestasi semasa, saya yakin kita mampu melakar kejutan dalam perlawanan itu.

"Apa yang penting kita fokus dan bermain dengan semangat juang tinggi bagi memastikan Kelantan menang," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Piya berasakan tonggak import dari Korea, Ngam Kum Woong dan kapten pasukan, Mohd. Nasir Basharuddin perlu diberikan tumpuan pada pertemuan itu nanti.

Tegasnya, kedua-dua pemain itu cukup bahaya seandainya diberikan ruang yang luas kerana mereka mempunyai kemahiran individu dan pergerakkannya cukup licik.

Original source - Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur