MAKLUMAT TERKINI

Kemelut Ferris Mampu Jejas aksi B-23

4 Mac, 2015

Kelana Jaya: Pengendali Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee mengakui kemelut melanda bekas penyerang Harimau Muda A, Ferris Daniel Mat Nasir turut mencetuskan kegelisahannya.

Penyerang kelahiran Kelantan berusia 23 tahun itu berada dalam perancangan Kim Swee untuk menghadapi Sukan SEA di Singapura pada Jun.

Namun Ferris kini tersepit apabila menjadi rebutan FELDA United dan Kelantan dengan kedua-dua pasukan masih belum menemui jalan penyelesaian terbaik.Situasi ini menyebabkan Ferris yang menandatangani kontrak bersama FELDA United terlepas sekurang-kurangnya tiga perlawanan Liga Super dan satu aksi Piala FA.

“Saya harap masalah ini diselesaikan segera tanpa sebarang tindakan keras dan berat. Seperti yang kita tahu, dia perlu mempunyai perlawanan kompetitif selain latihan untuk menghadapi Sukan SEA,” katanya.

Tambahnya, sekiranya perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Status FAM, pemain berkenaan mungkin berdepan penggantungan sekali gus menyukarkan keadaan.

“Jika dibawa ke Jawatankuasa Status, sudah tentu mana-mana pihak sama ada FELDA United, Kelantan dan lebih-lebih lagi skuad B-23 akan rugi. Saya percaya perkara ini boleh dibawa berunding,” tambahnya.

Ferris antara beberapa pemain yang menjadi rebutan selain Gary Steven Robbat dan D Sarvindran selepas FAM membubarkan Harimau Muda A.

Original source - Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur