MAKLUMAT TERKINI

Real Mulia Mahu Cipta Impak

4 Mac, 2015


PENDATANG baharu, Real Mulia FC (RMFC) bertekad memberi tentangan sengit dalam saingan Piala FAM 2015 yang bermula secara rasmi, Ahad ini.

Ketua jurulatihnya, Yunus Aliff optimis pemain skuad 'The Kings' mampu memberi cabaran kepada pasukan lain walaupun tidak dibarisi pemain ternama.

"Kita sedar kita pasukan mentah, tetapi dalam tempoh dua bulan pasukan ini dibentuk banyak peningkatan sudah dapat kita lihat. Dari aspek mental, moral, keyakinan, disiplin, komitmen semuanya bertambah baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara pemain berpengalaman yang memperkuatkan Real Mulia FC musim ini adalah bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa; bekas pemain Pahang, Shahril Faizal Sharifuddin; bekas penyerang Terengganu, Wan Aliff Jasmi.

Amri Fasal Mohd Nor (Perlis) selain pemain muda dari Selangor, Ash Hameed.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal RMFC, Alistair Edwards menegaskan keputusan tidak memberangsangkan dicatat pada aksi persahabatan iaitu dua kemenangan daripada lapan perlawanan, sebelum ini tidak menggambarkan kekuatan sebenar pasukan tersebut.

"Kita tidak pernah fokus pada keputusan perlawanan persahabatan, kerana fokus kita adalah membentuk asas yang bagus untuk pasukan ini. Tiada guna kita fokus menang setiap perlawanan jika tiada asas yang baik," katanya.

"Setiap perlawanan, kita analisa, kita kaji apa yang perlu ditambah baik dan saya gembira kini kita sudah memberikan pemain asas dan motivasi yang bagus," jelas Alistair yang pernah beraksi bersama beberapa pasukan tempatan pada era 90-an.

RMFC dijadual menentang wakil Pulau Pinang, Sungai Ara FC pada aksi pembuka tirai Liga FAM 2015 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Ahad ini.

Kelab berkenaan dimiliki Tengku Fahd Muadzam Shah, anakanda kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. - Bernama

Original source - Sinar Harian www.sinarharian.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur