MAKLUMAT TERKINI

Sathia Terselamat

4 Mac, 2015

SATHIANATHAN


Kuala Lumpur: Teka-teki masa depan pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan terjawab apabila pihak pengurusan menekankan masih mempercayai keupayaan bekas jurulatih kebangsaan itu bagi membimbing The Gladitors.

Setiausaha Agung ATM Lt Kol Alias Jaafar berkata, walaupun sedar dengan prestasi longlai pasukan di awal saingan musim ini, pihaknya tidak akan mencari pengganti Sathianathan hingga benar-benar diperlukan.

“Belum ada perbincangan mengenai masa depan Sathianathan. Kami masih percaya beliau mampu membimbing pasukan ini yang saya kira cukup lengkap dengan kehadiran beberapa pemain bagus.

“Pemain seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Hai-O (Hairuddin Omar) dan Palacios (Jerry Nelson Palacios) jelas menunjukkan pasukan ini mempunyai kualiti cuma rezeki belum ada lagi. “Saya sendiri tertanya-tanya kenapa kami belum menang walaupun beraksi baik.

“Mungkin pemain memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri di samping ada juga pemain lama yang baru kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan musim lalu,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam Sathianathan, 57, dilapor mungkin menjadi jurulatih pertama dipecat musim ini berikutan prestasi kurang menyerlah pasukannya apabila tewas kali keempat berturut-turut hingga mengundang rasa kurang senang pihak pengurusan.

Alias berkata, pertemuan dilakukan bersama kesemua pemain dan pegawai pasukan kelmarin, lebih bersifat perbincangan bagi mengetahui jika wujudnya sebarang masalah selain sedikit teguran agar mereka bangkit dalam aksi berikutnya.

“Kami harap pemain bermain bersungguh-sungguh. Kami akan tetap menyokong mereka dari belakang dan sedia membantu menyelesaikan apa saja masalah dihadapi pasukan,” katanya.

Original source - Mohd Firdaus Hashim, firdaushashim@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur