Felda masih tunggu SPN Ferris
6 Mac, 2015
ZULKARNAIN Muhammad menjelaskan status terkini melibatkan Muhammad Ferris
Daniel (kanan) Mat Nasir dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Hasrat bekas penyerang Harimau Muda A, Muhammad Ferris Daniel Mat Nasir untuk beraksi buat kali pertama dengan Felda United musim ini masih terbantut kerana belum mendapat sijil perpindahan negeri (SPN) daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) walaupun sebelum ini telah memberi jaminan untuk melepaskan pemain itu secara baik.
Setiausaha Agung Felda United, Zulkarnain Muhammad berkata, pihaknya telah melakukan rundingan kali kedua dengan KAFA bagi menyelesaikan isu perebutan pemain itu dan kini hanya menunggu Kelantan menyerahkan SPN Muhammad Ferris kepada mereka bagi membolehkan pemain itu didaftarkan sebagai pemain The Fighters.
Zulkarnain berkata, pihaknya berharap dokumen itu dapat diperoleh sebelum pendahulu Liga Super itu menentang Lions XII di Stadium MP Selayang esok.
“Kes Ferris ini hampir selesai selepas segala urusan surat menyurat berjaya dilakukan tanpa melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan sekarang ini kami cuma menunggu SPN sahaja yang dijangka akan terima dalam masa sehari dua ini.
“Kami sangat berterima kasih kepada KAFA kerana beri peluang kepada Felda United untuk mendapatkan khidmat Ferris tanpa melibatkan Jawatankuasa Status FAM.
“Kami telah menjalankan rundingan dan KAFA menetapkan beberapa syarat dan kami dapat menerimanya tanpa sebarang masalah. Berkemungkinan besar Ferris dapat beraksi pada Sabtu ini dan saya berharap KAFA dapat mempercepatkan urusan pengeluaran SPN,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.
Difahamkan, antara syarat yang dikenakan KAFA ialah Muhammad Ferris tidak boleh disenaraikan apabila kedua-dua pasukan bertemu buat kali pertama musim ini nanti.
Isu Ferris mendapat perhatian selepas dia yang sepatutnya beraksi bersama Kelantan selepas tidak lagi bersama skuad Harimau Muda A tidak berbuat sedemikian, sebaliknya pemain berusia 23 tahun itu mengambil keputusan untuk menyertai Felda United.
Dalam pada itu, Zulkarnain juga enggan mendedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Felda kepada KAFA.
Sementara itu, Ferris nyata gembira apabila perkara yang mengganggu perjalanan kariernya hampir tiga bulan menemui jalan penyelesaian dan dia bakal beraksi dalam tempoh terdekat.
“Saya mahu membalas segala penat lelah Felda United untuk menyelesaikan masalah ini dengan beraksi dengan baik. Saya sangat gembira kerana perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya
Original source - FADHILUL IZMEL ISHAK, Utusan Online
www.utusan.com.my