T-Team Pancing Import Dari Croatia
6 Mac, 2015
KUALA TERENGGANU – T-Team bakal mendapatkan khidmat seorang lagi pemain import dari Croatia bagi melengkapkan kuota empat pemain import skuad itu, sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam kempen Liga Perdana musim ini yang kelihatan goyah.
Awang import baharu kelahiran Odzak, Croatia iaitu Josip Milardovic kini menjadi sebutan dan pemain berusia 33 tahun itu pernah menyarung jersi pasukan Bawah 21 negaranya.
Pada masa ini, Josip yang mempunyai ketinggian 1.84 meter, beraksi dengan kelab HNK Cibalia Vinkovci dalam liga divisyen dua Croatia dan dia dikatakan mampu mengemudi bahagian tengah dan pertahanan sekali gus bakal menjadi aset The Titans.
Menurut ketua jurulatih T-Team, Tomislav Steinbuckner, usaha membawa masuk pemain import keempat ke dalam pasukan T-Team adalah bagi memantapkan lagi pasukan dalam mengharungi Liga Perdana musim ini.
“Kami akan bawa masuk Josip Milardovic dari Croatia untuk digandingkan dengan pemain import lain serta pemain tempatan dalam T-Team.
“Kami harap dengan pengalaman yang dimiliki pemain ini (Josip) dapat membantu pasukan terutama di bahagian tengah,” jelasnya di sini semalam.
Beliau berkata, prestasi Josip akan diuji terlebih dahulu dan sekiranya segalanya berjalan lancar, pemain itu akan diserap untuk memperkuatkan T-Team.
Selain itu, katanya, selepas meraih kemenangan sulung ke atas ATM dalam kempen Piala FA tempoh hari, momentum itu diharap dapat diteruskan.
“Kami harap prestasi pemain T-Team terus meningkat dengan aksi lebih baik untuk meraih kemenangan seterusnya daslam saingan Liga Perdana,” katanya.
Original source - Utusan Online
www.utusan.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur