Enggan Dabik Dada
5 Mac, 2015
Kuantan: Pemain tengah Pahang, Nor Azam Abdul Aziz tetap merendah diri walaupun aksinya semakin mendapat perhatian selepas namanya terselit dalam senarai kesebelasan utama tiga perlawanan berturut-turut termasuk ketika menentang kelab Myanmar Yadanardon FC pada saingan Piala AFC, baru-baru ini.
Nor Azam berkata, kepercayaan diberikan jurulatih Zainal Abidin Hassan itu bakal dijadikan azimat serta motivasi terbaik untuk lebih bersedia membantu Tok Gajah meraih kemenangan.
Katanya, selaku pemain, tiada yang lebih menggembirakan dirinya selain diberikan tugas mengemudi bahagian tengah pasukan dan kejayaan Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada pusingan kedua Piala FA, Isnin lalu dianggap sebagai satu kepuasan peribadi.
“Namun, saya percaya masih banyak perlu diperbaiki sebelum bergelar tonggak pasukan. Saya belum puas hati 100 peratus dengan prestasi walaupun ramai yang memuji.
“Yang penting, kepercayaan jurulatih hingga membuatkan saya disenarai dalam kesebelasan utama sepanjang tiga perlawanan berturut-turut begitu bermakna biarpun kurang pengalaman,” katanya.
Bekas pemain Harimau Muda B itu berkata, pengalaman beraksi dalam saingan Liga Singapura musim lalu banyak membantu dan memberikan pendedahan kepadanya untuk beraksi dengan lebih baik setiap kali perlawanan.
Katanya, dia berharap khidmatnya akan terus ditagih pada perlawanan menentang Sime Darby di Stadium Darulmakmur, Sabtu ini.
“Kalau boleh, kami mahu meraih tiga mata pertama saingan Liga Super musim ini kerana perlawanan sebelum ini belum memihak kepada Pahang.
“Jika berdasarkan rekod, prestasi Sime Darby tidak menentu, tapi kami sama sekali tidak boleh memandang rendah lawan kerana kami juga belum menang tiga perlawanan awal musim ini,” katanya.
Original source - Asrol Awang, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my