MAKLUMAT TERKINI

Rudie Tak Sabar Pamer Belang

5 Mac, 2015

Seremban: Penyerang Negeri Sembilan Matrix (NS Matrix) Rudie Ramli yang baru pulih daripada kecederaan bersedia diturunkan ketika pasukannya bertandang ke Stadium Darulmakmur, Kuantan untuk menentang Kuantan FA, malam esok.

Pemain dari Selangor berusia 32 tahun itu yang tidak beraksi pada tiga perlawanan Liga Perdana terdahulu, berharap namanya disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Katanya, dia tidak sabar untuk bersama pasukan yang kini sudah mendapat rentak terbaik apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah untuk menduduki tangga kedua Liga Perdana selepas mengumpul tujuh mata.

“Rasa tidak sabar untuk diturunkan, namun ia bergantung sepenuhnya pada perancangan ketua jurulatih (K Devan).

“Saya sedia beraksi dan memberikan persembahan terbaik demi membantu pasukan mencatat keputusan memuaskan dalam liga.

“Biarpun prestasi tampak memberangsangkan dengan penyerang utama, Francis Forkey Doe menjadi penyumbang utama jaringan, perjuangan kami masih jauh dan perlukan komitmen tinggi setiap pemain,” katanya.

Musim lalu, Rudie bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada saingan liga domestik susulan kecederaan namun musim ini dia berazam memberikan sumbangan terbaik kepada skuad Hoben Jang Hoben.

“Saya mahu buktikan kemampuan sebenar musim ini serta berharap dapat menggunakan pengalaman membantu kejayaan pasukan,” katanya.

Original source - Mohd Amin Jalil, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur