JDT Ibarat Harimau Luka
7 Mac, 2015
Jorge Pereyra Diaz (tengah) belum pasti disenaraikan dalam kesebelasan utama
JDT yang akan menentang Sarawak malam ini kerana mengalami kecederaan.
JOHOR BAHRU - Rekod yang buruk di sebalik permulaan yang baik menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) kini terperosok di anak tangga ketujuh liga, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada pasukan yang dianggap paling kaya dalam bola sepak tempatan ketika ini.
Setelah memukau Pahang dalam perlawanan sumbangsih, JDT dilihat memiliki keupayaan untuk meneruskan penguasaan mereka ke atas takhta Liga Super buat musim kedua berturut-turut, namun apakah jangkaan itu meleset?
Mereka kemudiannya kalah kepada pendatang baharu Liga Super, PDRM dan kemudian seri dengan Selangor. Isnin lalu pula mereka disingkir daripada Piala FA oleh Pahang menerusi penalti penentuan dalam pusingan kedua.
Pertemuan dengan Sarawak di laman sendiri malam ini adalah kesempatan terbaik untuk memulihkan semangat JDT, sekali gus membina semula momentum kemenangan mereka.
Ketua jurulatihnya, Bojan Hodak berkata, beraksi di kubu kuat mereka iaitu Stadium Tan Sri Hassan Yunos sepatutnya menjadi pentas terbaik buat skuad Harimau Selatan untuk menunjukkan kebangkitan.
Katanya, walaupun kekecewaan tewas kepada Pahang masih dirasai, namun tumpuan anak-anak buahnya untuk mendapatkan tiga mata penuh dalam saingan Liga Super malam ini tidak terjejas.
“Pemain merasakan mereka berhak mendapat keputusan lebih baik ketika menentang Pahang dalam saingan Piala FA.
“Tetapi itu sudah berlalu, kini fokus kami terarah untuk mendapatkan mata penuh dengan memberi persembahan terbaik di Larkin,” katanya.
Tambah Hodak, anak-anak buahnya kini berada pada prestasi terbaik untuk menghadapi pasukan Bujang Senang walaupun dibelenggu dengan masalah kecederaan dan jadual perlawanan yang padat.
“Majoriti pemain menunjukkan peningkatan prestasi dalam aspek kecergasan, termasuk barisan penyerang seperti Luciano Figueroa dan Safee Sali.
“Jorge Pereira Diaz masih belum cergas sepenuhnya, namun dia tetap bersemangat mahu membantu pasukan mengutip mata berharga walaupun bakal berpindah tidak lama lagi,” ujarnya.
Original source - MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI, Utusan Online
www.utusan.com.my