MAKLUMAT TERKINI

NS Matrix Rampas Kedudukan Pendahulu Liga

7 Mac, 2015

KUALA LUMPUR – NS Matrix melakar kejayaan berganda apabila menewaskan Kuantan FA 3-1 yang sekali gus membolehkannya merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana daripada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) semalam.

NS Matrix, yang memulakan perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam dengan berkedudukan ke­dua dalam liga, kini mengumpul 10 mata, satu di hadapan JDT II.

Skuad Rusa itu membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Shahrizal Saad dan mereka hanya memerlukan dua minit kemudian untuk mendapat gol kedua menerusi bekas pemain Selangor, Francis Forkey Doe.

Kuantan FA kelihatan tidak akan memberi laluan mudah kepada mereka apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi penyerang dari Korea Selatan, Im Kyung-Hyun pada minit kelapan dan kedudukan kekal sehingga rehat.

Namun, Forkey Doe meletakkan pasukannya dalam kedudukan selesa dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-71, sekali gus membantu pasukannya muncul selaku satu-satunya pasukan tanpa kalah selepas empat perlawanan.

Pulau Pinang turut memintas JDT II selepas menang 1-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya hasil jaringan Faiz Subri pada minit ke-39 untuk mengumpul 10 mata, tetapi perbezaan jaringan menyebabkan mereka menghuni anak tangga kedua liga.

Cengkaman JDT II kepada takhta Liga yang dihuninya sejak perlawanan pembukaan musim ini terlepas apabila dikejutkan dengan bergaya oleh T-Team yang menang 3-1 di Kuala Terangganu.

Penyerang dari Uzbekistan, Farhod Tadjiyev menerajui kejayaan T-Team apabila menjaringkan gol pada minit ke-45 dan ke-48.

Walaupun pasukan pelawat cuba bangkit dengan jaringan penyerang dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-72 namun The Titan mengesahkan kemenangan apabila memperoleh gol ketiga pada minit ke-90 menerusi Nor Hakim Hassan.

Di Stadium Likas, Sabah menang besar ke atas KL SPA 4-1 untuk memberikan tekanan kepada kelompok atas.

Sabah memperoleh gol menerusi Zuraindey Jumai (minit 28), Leopold Alfonso Otong (minit 31), Eamon Zayed (minit 48) dan Muhd. Izuan Salahuddin (minit 64) manakala KL SPA memperoleh gol sagu hati menerusi Raja Mohd. Hafillah Raja Mahat (minit 65).

Dalam pada itu, PKNS Selangor turut mencipta kejutan apabila menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Petaling Jaya manakala di Stadium UiTM, Shah Alam, DRB-Hicom menewaskan UiTM 3-1.

Original source - Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur