KLFA Ada Masa 12 Hari Untuk Jumpa Radzi
8 Mac, 2015
Kuala Lumpur: “Kenapa tidak beritahu kami?”Demikian persoalan diajukan oleh seorang ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Mohd Radzi Mat Rashid kepada badan induk itu yang didakwa tidak memaklumkan dan enggan bersemuka dengan pihaknya meskipun pihak Pesuruhjaya Sukan sudah pun mengeluarkan arahan supaya berbuat demikian.
Arahan Pesuruhjaya Sukan itu adalah susulan daripada siasatan mereka yang mendapati KLFA tidak melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 12 September tahun lalu dengan cara yang betul selepas menerima aduan daripada Radzi.
Jelas Radzi, KLFA menerima surat itu pada 17 Februari lalu dan sehingga kini mereka hanya mempunyai masa kira-kira 12 hari untuk bersemuka dengan Radzi selepas Pesuruhjaya Sukan mengarahkan pertemuan diadakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh surat dikeluarkan.
“Saya hanya mendapat salinan surat ini selepas membuat susulan ke pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 23 Februari lalu.
“Yang saya persoalkan sekarang ialah kenapa KLFA tak maklumkan kepada kami? Jelas sekali benarlah sekarang kami berada di pihak yang benar,” katanya.
Kandungan surat itu turut mengarahkan supaya KLFA menstruktur semula Ahli Gabungan PBKL mengikut peruntukan perlembagaan dan mengkaji serta mengemaskini semula perlembagaan mengikut keperluan dan kesesuaian agar tidak timbul lagi isu berbangkit.
Namun yang lebih penting ialah, Pesuruhjaya Sukan mengarahkan KLFA mengadakan AGM semula dengan teratur berpandukan perlembagaan sebelum 31 Mei 2015.
Radzi percaya, kehadiran surat itulah yang menjadi punca Ramlan Askolani iaitu bekas Setiausaha Agung KLFA meletak jawatan secara tiba-tiba, baru-baru ini.
“Sebab kalau dia tidak letak jawatan, sudah pasti akan ada tindakan daripada presiden kerana saya difahamkan presiden juga tidak dimaklumkan surat itu diterima oleh pejabat KLFA pada 17 Februari lalu.
“Apapun sekali lagi saya mahukan penjelasan daripada KLFA dan mahu perbincangan dengan saya diatur segera,” katanya.
Original source - Oleh Saiful Affendy Sapran, saifulaffendy@hmetro.com.my , Harian Metro
www.hmetro.com.my