MAKLUMAT TERKINI

Harap Tak Serius

9 Mac, 2015



Kuantan: Kecederaan Dickson Nwakaeme dan Matias Conti diharap tidak serius kerana khidmat mereka amat ditagih untuk Kejohanan Piala AFC bertemu kelab dari Filipina, Global FC di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.

Jurulatih Tok Gajah Zainal Abidin Hassan berkata, selepas skuadnya berjaya mengutip tiga mata berharga ketika menewaskan Yadanarbon FC dari Myanmar 3-2, aksi cemerlang itu diharap berterusan untuk mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan G.

Katanya, beliau kini mengharapkan semua pemain berada pada tahap terbaik terutama menjelang pertemuan dengan kelab dari Filipina itu.

“Saya akan memantau perkembangan Nwakaeme dan Conti hari ini untuk mendapatkan keputusan sama ada kecederaan dialami itu serius, sama ada boleh beraksi atau tidak Rabu ini,” katanya.

Mengulas kemenangan pertama dalam saingan Liga Super ketika menewaskan Sime Darby FC 2-0 kelmarin, Zainal memuji disiplin serta persembahan anak buahnya kerana meraih tiga mata berharga.

Katanya, kejayaan menewaskan Sime Darby FC itu melengkapkan prestasi mantap skuad berkenaan selepas sekadar mengutip dua mata daripada tiga perlawanan liga.

“Saya gembira kerana tanpa beberapa pemain utama terutama Nwakaeme dan Conti yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat kecederaan, pemain begitu berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.

Original source - Asrol Awang, sukan@hmetro.com.my , Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur