MAKLUMAT TERKINI

Sathia Lega Raih Mata Pertama

9 Mac, 2015

Kuala Terengganu: Wajah suram pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan kini bertukar ceria selepas anak buahnya berjaya mengutip satu mata daripada empat perlawanan sebelum ini selepas terikat 2-2 dengan Terengganu pada saingan Liga Super, malam kelmarin.

Lebih menggembirakan bekas pengendali kebangsaan itu adalah kebangkitan pemainnya menyamakan kedudukan biarpun pada awalnya ketinggalan 0-2 kepada skuad Penyu yang bermula garang sebaik wisel ditiupkan.

“Walaupun mendapat satu mata, ini adalah permulaan baik buat pasukan kerana bukan mudah untuk menundukkan pasukan tuan rumah,” katanya yang mengharapkan permulaan itu bakal mencetus aksi lebih baik selepas ini terutama bertemu Pahang hujung minggu ini.

Mengulas lebih lanjut perlawanan itu, pengendali The Gladiators itu mengaku anak buahnya menguasai permainan dengan memperolehi banyak peluang terhidang namun gagal diterjemahkan dengan jaringan menerusi barisan penyerang yang diketuai Nor Shahrul Idlan Talaha.

“Kita bermain agak baik malam ini, tetapi saya betul-betul marah apabila pemain menghadiahkan penalti kepada tuan rumah yang hampir menyentap semangat pemain, namun saya tetap puji semangat dipamerkan pemain kerana kembali bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan.

“Selain itu pemain mula yakin dan inilah yang saya harapkan untuk aksi seterusnya, namun masih ada ruang yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan momentum mereka sekali gus untuk keluar daripada kelompok terbawah liga,” katanya yang mengakui keputusan itu dapat mengurangkan tekanan yang dipikul pemain.

Original source - Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur