Tok Gajah Buru 3 Mata Berharga
10 Mac, 2015
TOK Gajah idam terus rentak cemerlang.
Kuantan: Misi tiga mata menjadi matlamat skuad Pahang bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan G apabila melayan kelab Filipina, Global FC di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Bermula dengan keputusan positif selepas menewaskan kelab Myanmar, Yadanarbon FC 3-2, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu mahu meneruskan rentak cemerlang di gelanggang sendiri.
Justeru, kapten Mohd Razman Roslan mahu rakan sepasukan memanfaatkan peluang itu.
Bagaimanapun, pemain pertahanan itu tidak dapat beraksi akibat penggantungan selepas dilayang kad merah ketika Pahang menewaskan Yadanarbon FC.
“Saya yakin rakan sepasukan mampu memberikan tekanan kepada Global FC untuk memastikan tiga mata milik mutlak Tok Gajah.
“Tanpa saya diharap tidak memberikan kesan besar kerana rakan lain mampu memikul tanggungjawab itu selepas mempamerkan aksi konsisten pada tiga perlawanan berturut-turut termasuk menewaskan Sime Darby 2-0, Sabtu lalu.
“Biarpun terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan, kemenangan perlu disempurnakan kerana bukan saja beraksi di depan penyokong sendiri malah dapat mengukuhkan kedudukan.
“Sudah semestinya saya dan rakan mahu membawa Pahang terus bersaing dalam Piala AFC sekali gus mengharumkan nama Pahang, khususnya Malaysia di pentas lebih besar,” katanya.
Razman, pemain kelahiran Kajang, Selangor bukan saja terlepas peluang beraksi esok malah turut tidak dapat beraksi akibat penggantungan apabila Pahang bertandang ke Hong Kong bertemu South China.
Pada perlawanan esok, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan dijangka menurunkan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme, tetapi nasib seorang lagi penyerang, Matias Conti belum dapat dipastikan.
Original source - Asrol Awang, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my