MAKLUMAT TERKINI

Tuah Trofi Sulung Ipoh Fridays

10 Mac, 2015

IPOH Fridays FC ceria selepas muncul juara Kejohanan Bola Sepak
Piala 1Malaysia B19 Zon Utara.


Arau: Penyertaan kali pertama membawa tuah kepada Kelab Sukan Komuniti Ipoh Fridays (Ipoh Fridays FC) dari Perak apabila menewaskan pasukan SPT Indians (SPT Indians FC) dari Pulau Pinang untuk muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala 1Malaysia peringkat Zon Utara, baru-baru ini.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan hingga tamat permainan sebelum Ipoh Fridays FC menang menerusi sepakan penalti 4-2.

Pengurus Ipoh Fridays FC K Steven Raj berkata, pasukannya hanya mensasarkan ke suku akhir kerana pasukan baru dibentuk sebulan lalu dan tiada pengalaman.

“Selepas berjaya memenangi beberapa perlawanan peringkat kumpulan serta melepasi suku akhir, kami berasa mampu pergi lebih jauh dan cuba sebaik mungkin untuk ke final.

“Tidak dinafikan SPT Indians FC juga bukan sebarang lawan. Kami terikat tanpa jaringan hingga wisel penamat, namun sudah rezeki kami apabila berjaya menang sepakan penalti,” katanya selepas perlawanan di Stadium Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.

Menurutnya, ini kali pertama pasukannya menjadi juara kejohanan kerana sebelum ini muncul naib juara kejohanan peringkat daerah dan negeri di Perak.

“WANG yang dimenangi bukanlah segala-galanya buat pasukan kerana kemenangan itu berjaya melonjakkan pasukan untuk pergi lebih jauh selain menaikkan nama kelab di mata masyarakat.

“Kemenangan ini amat berbaloi kepada pasukan kerana hampir sebahagian daripada mereka terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk menyertai kejohanan ini,” katanya.

Original source - Hafizudin Mohd Safar, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur