Mohamadou Tidak Risau Aksi ‘yo-yo’
11 Mac, 2015
Mohamadou (tengah) yakin PDRM mampu jinak Perak.
Kuala Lumpur: Pemain tengah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohamadou Sumareh tidak bimbang dengan aksi ‘yo-yo’ pasukannya yang dilabel pasukan pencabar kejuaraan dan kemudian menjadi belasahan.
Perancang tengah dari Gambia itu mengaku sebagai pasukan baru bersaing dalam Liga Super musim ini, mereka masih kurang pengalaman untuk menyaingi pasukan elit, namun tetap percaya mampu bangkit selepas kekalahan besar 1-4 di tangan Selangor, Sabtu lalu.
“Kekalahan seperti itu boleh berlaku dalam bola sepak dan menjadi pengajaran berguna buat kami. Kami pasukan baru dan sepatutnya terlalu tertekan. Tapi yang pasti, kami tidak mempamerkan keupayaan sebenar ketika kalah minggu lalu,” katanya.
Skuad The Cops kendalian bekas penyerang kebangsaan Azman Adnan tumpas pada perlawanan keempat selepas mencipta kejutan menundukkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 1-0 dan Kelantan 4-0.
Kekalahan besar kepada Selangor itu mengulangi langkah sumbang mereka pada aksi pertama apabila tewas 3-5 kepada LionsXII.
Bagaimanapun Mohamadou yang terkenal dengan kepantasan dan kelincahannya percaya mereka sudah melupakan keputusan itu dan kembali fokus pada pertembungan dengan pasukan tangga kedua liga, Perak di Stadium Ipoh, Sabtu ini.
“Bukan mudah buat kami kerana bertemu Perak di gelanggang lawan. Perak belum kalah dan mereka pasti mahu menang di depan penyokong sendiri, tapi kami tidak perlu takut, sebaliknya bermain seperti biasa dengan komitmen dan disiplin tinggi,” katanya.
Selain menjadi arkitek The Cops, Mohamadou turut meledak dua gol setakat ini dan dia percaya permainannya semakin matang berbanding musim lalu ketika menjulang Liga Perdana.
“Banyak lagi perlu ditingkatkan untuk menjadi lebih baik. Saya yakin boleh memberi sumbangan kepada kejayaan PDRM musim ini,” katanya.
Original source - Harian Metro
www.hmetro.com.my