FAM Siasat!
11 Mac, 2015
MEHMET (tiga dari kanan) dakwa penolong pengadil turut menjadi pencetus perbalahan.
Kuala Lumpur: Kes penolong pengadil yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyerang import Sarawak, Billy Mehmet pada perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Sabtu lalu bakal disiasat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mereka menerima aduan skuad Bujang Senang.
Menurut Ketua Jabatan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Mohd Shazli Shaik Mohd, insiden itu dilaporkan pegawai pasukan Sarawak selepas perlawanan dengan kes berkenaan sudah berada dalam perhatian Jabatan Undang-Undang badan induk itu.
“Sarawak ada membuat aduan menggunakan borang C07 selepas perlawanan itu dan salinan aduan sudah kami berikan kepada Jabatan Pengadil dan Jabatan Undang-Undang.
“Tindakan seterusnya bergantung kepada Jabatan Undang-Undang selepas mereka meneliti aduan itu.
“Menerusi aduan itu, Mehmet mendakwa penolong pengadil mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya hingga menjadi punca perbalahan pada perlawanan itu.
“Apa yang diperkatakan pegawai perlawanan itu turut dinyatakan dalam borang berkenaan, namun saya tidak boleh nyatakan,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Ternyata insiden itu cukup mengecewakan Mehmet, 31, dari England yang menyumbat gol pertama Sarawak pada perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu, apabila dia turut memuat naik status di laman sosial Twitter mengenai insiden yang dianggapnya cukup memalukan.
Ini bukan kali pertama kes seumpama ini berlaku apabila kapten Sarawak Joseph Kalang Tie turut mendakwa dihina pengadil Sukri Abdul Rahman tahun lalu, namun kes itu digugurkan kerana FAM menganggap insiden itu sekadar salah faham.
Sementara itu, Shazli turut mengesahkan menerima aduan mengenai mutu pengadilan pada perlawanan Johor DT dan Sarawak yang berkesudahan kemenangan 2-1 kepada pasukan tuan rumah.
“Memang ada aduan mengenai pengadil pada malam itu daripada pasukan terbabit. Namun aduan dikemukakan terlalu ringkas tanpa menyatakan secara terperinci mengenai kelemahan itu. Namun perkara ini akan tetap diteliti FAM,” katanya.
Original source - Aziman Rosdi, aziman@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my