Liga Super: Kapten Selangor 'rehat' 6 Minggu
10 Mac, 2015
SHAHROM Kalam diberi rawatan selepas cedera ketika menentang PDRM FC dalam
perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Kapten Selangor, Shahrom Kalam terpaksa berehat sehingga enam minggu selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika skuad Gergasi Merah itu mencatat kemenangan sulung menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada perlawanan keempat Liga Super di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Shahrom, 30, yang beraksi penuh kesemua perlawanan sejak awal musim, hanya sempat beraksi selama 10 minit sebelum mengalami koyak pada otot pangkal paha ketika berusaha menghalang penyerang PDRM, Ashfaq Ali melepaskan rembatan ke arah gawang Selangor.
"Selepas menjalani pemeriksaan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik), hari ini, keputusan yang diperoleh jam 4 petang tadi menunjukkan terdapat koyakan sebesar lebih kurang dua sentimeter di dua tempat pada otot pangkal paha saya.
"Menurut doktor, saya memerlukan enam minggu untuk pulih sepenuhnya tetapi saya akan cuba fokus melakukan proses pemulihan supaya tempoh berkenaan dapat disingkatkan. Insya-Allah kalau boleh saya nak kembali beraksi lebih awal dari tempoh itu," kata Shahrom ketika dihubungi BH Online, hari ini.
Shahrom bakal terlepas aksi Liga Super bertemu Sarawak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini dan aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Terengganu di gelanggang sama, Rabu depan sebelum saingan domestik berehat dua minggu lebih untuk perlawanan antarabangsa.
Aksi keenam Liga Super hanya disambung pada 4 April dengan Selangor bakal bertemu Sime Darby di Stadium Shah Alam dan jika mereka layak ke suku akhir Piala FA, aksi pertama dijadual berlangsung 7 atau 8 April.
"Mujur ada rehat panjang selepas bertemu Terengganu. Jadi saya tidak terlepas banyak perlawanan. Apa pun saya sangat berharap Selangor akan layak ke suku akhir Piala FA dan saya rasa sudah bersedia beraksi ketika itu," jelas pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.
Sepanjang ketiadaan Shahrom, posisi pertahanan tengah Selangor akan menyaksikan pemain import, Robert Cornthwaite bergandingan dengan Rizal Fahmi Rosid sambil Bunyamin Umar bersedia jika apa-apa berlaku kepada Cornthwaite atau Rizal memandangkan S Subramaniam masih belum pulih sepenuhnya.
"Saya tak risau kerana Rizal boleh menggantikan tempat saya. Dia pemain yang berkualiti dan saya yakin dia mampu menggalas tugas dengan baik," kata Shahrom yang kerap bergandingan dengan Rizal di posisi pertahanan tengah Selangor, musim lalu.
Original source - Wan Fakhrul Bakar, wanfakhrul@bh.com.my, Berita Harian
www.bharian.com.my