Kejutan Menang Besar UiTM Perlis
12 Mac, 2015
Kuala Lumpur: Jurulatih UiTM Perlis Manja Man, ‘terkejut’ dengan aksi hebat anak buahnya apabila melakar kemenangan mudah 4-1 ke atas Universiti Multimedia (MMU) pada perlawanan Piala Sumbangsih, aksi pembuka tirai bola sepak Liga Institusi Pengajian Tinggi di Arau, Sabtu lalu.
Kemenangan selesa itu sekali gus membolehkan UiTM Perlis meraih tiga mata untuk saingan Divisyen Satu.
UiTM Perlis adalah juara musim lalu dan 2013. Mereka juga pemenang Piala Sumbangsih tahun lalu selepas menewaskan Universiti Malaya (UM) 3-1.
“Alhamdulillah pemain mengguna kesempatan bermain di tempat sendiri untuk melakar kemenangan besar ini,” kata jurulatih Manja Man.
Beliau turut ‘terkejut’ dengan keupayaan pemain baru yang berjaya menyerap tekanan untuk berganding kemas dengan senior.
“Saya harap mereka dapat mengekalkan rentak ini apabila berkunjung ke Kuala Terengganu menentang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Sabtu ini.”
Bagi jurulatih MMU Mohd Faizal Md So’od, kekalahan ini amat memeritkan, tetapi terpaksa menerima hakikat, pasukannya kali ini tidak lagi seperti musim lalu yang meraih tiga gelaran besar, juara Divisyen Dua, Piala FA dan futsal Piala Menteri Pelajaran Malaysia.
“Insya-Allah kami akan cuba bangkit selepas ini,” katanya.
Tanpa kelibat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meminta dikecualikan musim ini untuk memberi tumpuan kepada Liga FAM, UiTM Perlis dilihat mempunyai laluan mudah untuk mempertahankan gelaran buat kali ketiga.
Dalam aksi lain, Kolej Komuniti Kedah (KK Kedah) yang memilih Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai gelanggang musim ini, kecundang kepada pendatang baru Kolej Komuniti Pahang (KK Pahang) 0-1.
Bekas juara, UiTM Shah Alam yang bermain di gelanggang sendiri pula gagal mengaut kesempatan apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika melayan kunjungan UniSZA.
Original source - Harian Metro
www.hmetro.com.my