Norhafiz Optimis Kekang FELDA
12 Mac, 2015
Kota Bahru: Pemain pertahanan Kelantan, Norhafiz Zamani Misbah mahu terus mengekalkan prestasinya di bahagian pertahanan pada aksi Liga Super menentang FELDA United di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Sabtu ini.
Norhafiz berkata, sejak menyertai Kelantan, dia berjaya membentuk gandingan mantap di bahagian pertahanan bersama pemain import dari Australia Jonathan McKain.
“Menentang FELDA United bukan tugas mudah kerana mereka memiliki jentera serangan yang baik dan belum tewas setakat ini.
“Saya harap rakan sepasukan dapat pamerkan aksi mantap demi mengekang asakan lawan,” katanya.
Dia berkata, The Red Warriors (TRW) perlu memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri selepas hanya seri 0-0 dengan Perak Sabtu lalu.
“Sokongan padu penyokong penting kerana boleh menjadi inspirasi pemain mempamerkan aksi lebih baik,” katanya. - BERNAMA
Original source - Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur