MAKLUMAT TERKINI

Christie Resahkan ATM

12 Mac, 2015

Kuala Lumpur: Selepas kehilangan tonggak pertahanan kental, K Rueben yang berehat tiga bulan akibat kecederaan buku lali, nasib malang terus menimpa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila Christie Jayaseelan pula cedera hamstring kaki kanan.

Pemain sayap itu yang dianggap penyelamat The Gladiators apabila menjaringkan gol penyamaan ketika mengikat Terengganu 2-2, akan hadir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebagai penonton ketika ATM bertemu Pahang, Sabtu ini.

Menurut bekas pemain kebangsaan dan PKNS FC itu, kecederaan dialami menyebabkannya tidak boleh beraksi sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Saya kecewa selepas diberitahu perlu berehat bagi memulihkan kecederaan ini. Semangat saya amat tinggi untuk membantu pasukan terutama selepas menjaringkan gol tempoh hari.

“Tapi saya terpaksa berehat panjang pula. Dugaan ini cukup berat buat saya, tapi apa boleh buat, ini lumrah bola sepak,” katanya.

Christie, 29, yang memiliki corak permainan pantas dan licik ketika membawa bola hingga sering menjadi mangsa hadangan keras pertahanan lawan pernah dipanggil bekas pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal untuk beberapa siri aksi antarabangsa.

Biarpun impaknya bersama skuad Harimau Malaya tidak begitu berkesan, dia menjadi antara watak penting ATM sepanjang tiga musim lalu dan kejayaan terbesarnya apabila membawa pasukan itu mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2012.

Original source - Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur