Piala AFC: Pahang Hampa Diikat Global FC 0-0
11 Mac, 2015
PENJAGA gol Pahang, Khairul Azhan Khalid menyelamatkan serangan pemain Globac FC,
Mark Hartmann (dua dari kiri) daklam saingan Piala AFC di Stadium Darul Makmur.
- Foto Zulkepli Osman
KUANTAN: Wakil negara, Pahang gagal meneruskan rentak kemenangan selepas sekadar seri 0-0 dengan kelab Filipina, Global FC pada perlawanan kedua Kumpulan G, Piala AFC 2015 di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Skuad Tok Gajah yang menewaskan kelab Myanmar, Yadanarbon 3-2 pada aksi pertama, dua minggu lalu dihidangkan deretan peluang keemasan sepanjang perlawanan, namun gagal disempurnakan antaranya oleh Fauzi Rozlan, R Gopinathan dan Hafiz Kamal.
Global yang dibelasah 6-1 oleh kelab Hong Kong, South China pada aksi sulung, pasti lega dengan satu mata diraih, malam ini meskipun mereka terpaksa beraksi 10 pemain selepas Amani Aguinaldo dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua pada penghujung permainan.
Pada satu lagi perlawanan di Stadium Mongkok, Hong Kong, South China terus cemerlang dengan meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Yadanarbon 3-1.
Selepas dua perlawanan, South China di tangga teratas Kumpulan G dengan enam mata diikuti Pahang empat mata, Global FC satu mata dan Yadanarbon tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Pahang akan menanti kunjungan South China di Stadium Darul Makmur, 18 Mac ini.
Original source - Berita Harian
www.bharian.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur