MAKLUMAT TERKINI

Bobby, Souza Gempur The Cops

12 Mac, 2015

SOUZA (kiri) berpeluang turun menentang The Cops.


Ipoh: Dua bekas pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bobby Gonzales dan Charles Souza Chad pasti memasang impian tinggi berada dalam kesebelasan utama Perak apabila melayan kunjungan The Cops di Ipoh, Sabtu ini.

Bobby yang berehat panjang sebelum ini berharap pertembungan dengan bekas majikannya itu mungkin pentas terbaik untuknya muncul buat kali pertama dalam kancah Liga Super musim ini.

Begitupun, persoalan itu hanya akan terjawab apabila jurulatih The Bos Gaurus, Datuk M Karathu menamakan kesebelasan utamanya untuk menghadapi The Cops nanti.

Karathu ketika diajukan persoalan mengenai kemungkinan menurunkan Bobby bagi menentang bekas pasukannya bagaimanapun tidak memberi sebarang reaksi.

“Tengoklah nanti. Saya tidak berani beri kepastian. Yang pasti saya perlukan pemain muda yang mempunyai kelincahan dan kepantasan untuk menyaingi PDRM,” katanya.

Bobby yang menyertai Perak musim ini baru pulih daripada kecederaan dialami ketika pra-musim di Alor Setar menyebabkan dia terpaksa berehat lama.

Bagaimanapun, namanya berada dalam senarai 18 pemain ketika Perak bertemu Kelantan di Ipoh, minggu lalu sekali gus menimbulkan spekulasi kemungkinan pemain kelahiran Sabah itu akan mula diturunkan.

Selain Bobby, penyerang Brazil Charles Souza Chad juga berpeluang bermain menentang bekas majikannya jika diturunkan.

Yang pasti ketika ini keutamaan Karathu ialah memastikan dapat menurunkan kesebelasan terbaik bagi mengimbangi kemampuan pasukannya berikutan kecederaan menimpa pemain tengah dan kapten Mohd Nasir Basharuddin.

Sementara itu, Perak akan kembali mendapat khidmat pemain tengah, Mohd Shukri Abdul Hamid selepas pulih daripada kecederaan.

Selain itu, Karathu turut berharap dapat menurunkan khidmat penjaring terbanyak Namkung Woong yang sudah mula berlatih.

Original source - Azizan Hashim, sukan@hmetro.com.my , Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur