‘No komen’
12 Mac, 2015
RAHMAN (kanan) mengundang kemarahan Presiden PBSNT selepas mengkritik kualiti padang.
Kuala Terengganu: “Fokus saya sekarang hanya untuk pasukan. Saya tidak mahu komen apa-apa selain persiapan pasukan,” itu reaksi pengendali Terengganu Abdul Rahman Ibrahim.
Malah, bekas pengendali kebangsaan itu bersikap profesional dan tetap tenang melatih pasukan bimbingannya itu di Padang A Kompleks Sukan Gong Badak, semalam.
Abdul Rahman berkata, tumpuannya kini hanyalah membentuk pasukan yang lebih baik berbanding sebelum ini menjelang pertemuan dengan LionsXII di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu ini.
“Saya tidak mahu komen perkara lain. Saya hanya memikirkan bagaimana mahu tumbangkan LionsXII di gelanggang mereka.
“Selain persiapan bertemu wakil Singapura itu, kami juga bersiap sedia untuk menghadapi pusingan ketiga Piala FA menentang Selangor, 18 Mac ini,” katanya.
Jurulatih berusia 69 tahun itu mengaku pertemuan dengan LionsXII sesuatu yang sukar buat pasukannya kerana pemain belum biasa bermain di padang rumput tiruan.
Menurutnya, sekalipun atas kertas kelebihan memihak pasukan tuan rumah, beliau akan memastikan anak buahnya turun dengan misi meraih mata.
“Saya harap pemain dapat memberikan persembahan lebih baik berbanding sebelum ini. Selepas menempuh beberapa perlawanan, saya sudah dapat menghidu beberapa kelemahan dalam pasukan.
“Saya memberikan penekanan kepada pertahanan supaya bermain secara berpasukan dengan bahagian tengah. Saya harap mereka memperbaiki persembahan dalam dua perlawanan penting ini,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Rahman mencetuskan kontroversi apabila meluahkan rasa malu serta kesal kerana Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT)
gagal menyediakan padang latihan sempurna sekali gus dianggap penyumbang kepada keputusan seri 2-2 walaupun satu ketika pasukan bimbingannya itu mendahului Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan dua gol.
Kenyataan itu mengundang kemarahan Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang pantas meminta supaya pengendali itu meletak jawatan.
Original source - Faizul Azlan Razak, sukan@hmetro.com.my , Harian Metro
www.hmetro.com.my