MAKLUMAT TERKINI

Pentas Hazwan Tunjuk Taring

14 Mac, 2015

Kuala Lumpur: Peluang penyerang muda, Ahmad Hazwan Bakri menempa nama bersama Harimau Malaya di pentas antarabangsa kini terbuka selepas pengendali Dollah Salleh menyenaraikannya dalam pasukan kebangsaan bagi aksi persahabatan menentang Oman di Muscat 26 Mac ini.

Bekas pemain Harimau Muda A itu yang kini mula menyerlah dalam musim kedua bersama Selangor kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas kali terakhir ketika meledak hatrik menentang Sri Lanka pada 2012.

Tempoh tiga tahun dipinggirkan itu langsung tidak mematahkan semangat Hazwan, 23, yang percaya masanya akan tiba buatnya menyarung kembali jersi kebangsaan andai terus berusaha.

“Memang gembira apabila dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan. Saya berterima kasih kepada jurulatih Dollah Salleh yang memberi kepercayaan kepada saya.

Saya tidak pernah terkilan kerana tidak dipanggil sebelum ini kerana saya tahu prestasi belum mencapai tahap diinginkan,” katanya semalam.

Kehadiran pemain kelahiran Labuan itu menyaksikan Dollah hanya meletakkan penyerang berpengalaman Mohd Safee Sali dalam senarai menunggu dan mengekalkan Norshahrul Idlan Talaha, Abdul Manaf Mamat dan Mohd Amri Yahyah bersama pasukan.

Bagaimanapun Hazwan tidak berasa sebarang tekanan untuk mengisi posisi ditinggalkan Safee kerana percaya pemain senior lain akan banyak membantu.

“Saya bukan mahu menyaingi sesiapa, cuma mahu merebut peluang diberikan jurulatih. Dalam pasukan ini masih ada pemain senior seperti Mat Yo dan Manaf Mamat. Saya percaya boleh belajar daripada mereka,” katanya.

Original source - Aziman Rosdi, aziman@hmetro.com.my , Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur