Selangor Menang Lagi
15 Mac, 2015
AHMAD HAZWAN BAKRI (kanan) bersaing dengan pemain Sarawak,
Billy Osman Mehmet dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM – Langkah Selangor dalam saingan Liga Super tampak semakin menyakinkan apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dengan menumpaskan Sarawak 2-0 di Stadium Shah Alam, semalam.
Dua jaringan Red Giants terhasil di setiap babak menerusi pemain tinggi lampai, Afiq Azmi pada minit ke-10 dan Mohd. Fitri Shazwan Raduwan, minit ke-77.
Selangor berhak bergelar pemenang dalam perlawanan itu dengan penguasaan baik dipamerkan di bahagian tengah, selain kelicikan Guiherme De Paula dan Ahmad Hazwan Bakri banyak kali memerangkap pertahanan Sarawak.
Sementara itu, Sarawak yang kehilangan tonggak pertahanan, Ronald Hikspoors seawal minit kedua sukar melancarkan gerakan berbahaya dengan terlalu bergantung kepada Billy Mehmet dan Ryan Griffiths mengepalai jentera serangan.
Afiq yang menjadi salah seorang penjaring ketika Selangor mengalahkan PDRM 4-1, minggu lalu memecah kebuntuan melalui tandukan mudah di depan pintu gol Sarawak melalui hantaran silang De Paula.
Begitupun, Sarawak tidak berdiam diri apabila cuba bangkit mencari gol penyamaan menerusi Griffiths pada minit ke-20, namun dibatalkan pengadil, Suhaizi Shukri kerana Mehmet menolak penjaga gol, Mohd. Syamim Othman.
Selangor terlepas peluang menjarakkan kedudukan pada minit ke-44 apabila tandukan Hazwan Bakri yang berpunca daripada gerakan Andik Vermansah melepasi palang.
Red Giants memulakan babak kedua dengan baik apabila membolosi gawang Sarawak pada minit ke-54, namun gol tidak diambil kira kerana Hazwan berada dalam kedudukan ofsaid.
Melihat corak serangan yang tiada kreativiti, pengendali Sarawak, Robert Alberts melakukan rombakan dengan mengeluarkan Nazri Kamal dengan meletakkan Ashri Chuchu di bahagian sayap kiri pada minit ke-58.
Ketika permainan berbaki 13 minit, pemain gantian, Fitri Shazwan memastikan tiga mata menjadi milik Selangor apabila menolak masuk gol kedua pasukan tuan rumah.
Original source - Utusan Online
www.utusan.com.my