MAKLUMAT TERKINI

Johor DT II Lepas Peluang

15 Mac, 2015

Pasir Gudang: Impian Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) untuk kembali merampas takhta Liga Perdana tidak tercapai selepas sekadar seri 2-2 dengan PKNS FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), kelmarin.

Pelawat yang mahu membalas dendam kekalahan 2-1 pada saingan Piala FA, 28 Februari lalu, bermula garang menerusi gerakan menarik pada minit ketiga selepas bola tolakan Keisuke Ogawa membuka ruang buat Gabriel Guera yang merembat bola leret namun sedikit tersasar daripada pintu gol JDT II.

Sedar betapa pelawat tampak begitu beriya-iya mencari gol awal, skuad Merah Biru mula menggandakan asakan dan pada minit ke-10 kelicikan Leandro Velazquez berjaya memperdaya pemain PKNS FC sebelum membuat hantaran kepada Zaquan Adha Abd Radzak namun sepakannya melepasi palang gol.

Gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-21 selepas Mohd Nizam Abu Bakar mengasari Velazquez di dalam kotak penalti dan pengadil Tiong Eng Tai tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Nicolas Delmonte.

Pada minit ke-60, jurulatih JDT II, Goran Paulic memasukkan Shahril Ishak untuk menggantikan Zaquan Adha dan percaturan itu membuahkan hasil apabila gol kedua berjaya ditemui pemain itu pada minit ke-74.

Pelawat bagaimanapun bangkit merapatkan jurang pada minit ke-81 menerusi Guera sebelum Ferderin Kadir menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

Original source - Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur