‘Mana Taring Johor DT’
16 Mac, 2015
AMRI (kiri) masih belum pulih sepenuhnya.
Johor Bahru: Ketiadaan penyerang berbisa yang mampu menjaringkan gol terus menghantui Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby pada aksi Liga Super di Stadium Selayang, kelmarin.
Senario itu perlu dirungkai segera pengendali Johor DT Bojan Hodak bagi mengelak skuad Harimau Selatan berdepan keciciran mata dan pasti menyebabkan hasrat mempertahankan kejuaraan liga tampak berliku.
Malah Hodak sendiri mengakui ketiadaan dua penyerang import yang sepatutnya ditugas menjaringkan gol tidak dapat beraksi akibat kecederaan ketika Mohd Amri Yahyah yang diturunkan pada perlawanan itu belum berada di tahap kecergasan 100 peratus.
“Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa terpaksa diketepikan akibat kecederaan berpanjangan dan saya tidak dapat menurunkan kedua-dua pemain itu dan hanya mempertaruhkan Safee Sali dan Amri mengemudi jentera serangan.
“Corak permainan mula kembali pantas pada babak kedua selepas saya memasukkan Mahali Jasuli apabila kerap melakukan larian pantas di sayap namun saya agak pelik apabila gol jaringan Safee di batalkan oleh pengadil perlawanan,” katanya.
Sime Darby terlebih dahulu menyentap semangat Harimau Selatan apabila pemain gantian, Muhammad Nazrul Kamarulzaman menjaringkan gol pada minit ke-35 dan Johor DT terpaksa menanti sehingga minit ke-60 apabila Junior Eldstal menjaringkan gol penyamaan.
Hodak menambah perubahan taktikal dengan mengeluarkan Asraruddin Putra Omar dan S Kunanlan dengan memasukkan Mahali dan Jasazrin Jamaluddin mengubah corak permainan lebih pantas tetapi masih belum mencukupi untuk menambah jaringan.
Malah katanya, ketiadaan penyerang import yang sering mengalami kecederaan menyebabkan apa jua serangan yang diatur gagal dimanfaatkan penyerang tempatan.
“Saya tidak nafikan Amri belum berada di tahap memuaskan selepas pulih daripada kecederaan dan perlu masa untuk kembali mantap dan keadaan itu tidak dapat diubah sehingga pada April nanti yang mungkin akan ada perubahan.
“Kami juga berdepan faktor kepenatan di kalangan pemain akibat jadual perlawanan yang padat dan saya harus menyusun program latihan lebih rapi supaya pemain tidak berdepan kecederaan jika beraksi dalam keletihan," kata Hodak.
Original source - Rizar Mohd Noor, rizar@hmetro.com.my , Harian Metro
www.hmetro.com.my