Perak Idam Import The Cops
16 Mac, 2015
PEMAIN Perak, Ahmad Sukri Hamid (kiri) menanduk bola melepasi pemain PDRM.
Ipoh: “Kalaulah kami juga ada pemain import berkualiti seperti mereka, kesudahannya mungkin berbeza,” begitulah pengakuan seorang pemain Perak berikutan kekalahan 1-3 pasukan The Bos Gaurus kepada Polis di Raja Malaysia (PDRM) di Stadium Perak, malam kelmarin.
Kekalahan dalam perlawanan kelima itu sekaligus melebur rekod tanpa kalah skuad bimbingan Datuk M Karathu serta tercicir ke tangga keempat selepas gah berada di tempat kedua untuk beberapa minggu.
Malah pasukan Sang Saka Biru malam kelmarin mendedahkan kelemahan benteng pasukan Yob yang sebelum ini gah kerana hanya melepaskan dua gol dalam empat perlawanan.
Pemain pertahanan Perak yang enggan namanya disiarkan itu mengakui kehebatan pasukan lawan yang berkisar di sekitar tiga awang importnya iaitu Ali Ashfaq, Dramane Traore serta Mohamadou Sumareh Ali.
“Trio ini memainkan watak utama dalam kejayaan PDRM. Mereka memang bagus. Kami sudah berusaha menyekat mereka tetapi apakan daya tidak terdaya.
“Dari segi kemampuan pemain tempatan saya kira kami seimbang tetapi kelebihan mereka ialah pemain import," katanya.
Pemain itu mengakui kecewa dan malu berikutan kekalahan yang menimpa di hadapan penyokong sendiri kerana sebelum perlawanan diramal mampu mengatasi pasukan The Cops.
Dia berharap semangat pemain Perak tidak terjejas dan melarat hingga mengganggu tumpuan menghadapi T-Team dalam saingan pusingan ketiga Piala FA di Ipoh, malam esok.
Original source - Azizan Hashim, sukan@hmetro.com.my , Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur