MAKLUMAT TERKINI

Turunkan Yang Terbaik

17 Mac, 2015

Pemain Kelantan menjalani latihan akhir di Stadium Sultan Muhammad IV,
Kota Bharu semalam menjelang perlawanan Piala FA menentang
Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/JAZALY AMRY JAAFAR


KOTA BHARU – Pengendali The Red Warriors, George Boateng dituntut menurunkan barisan terbaik dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, perlawanan tersebut adalah pertembungan hidup mati yang akan menentukan nasib Kelantan dalam saingan Piala FA musim ini.

“Semua pemain utama kita bebas dari pada kecederaan dan kecergasan mereka berada pada tahap terbaik, jadi mereka boleh diturunkan dalam perlawanan esok.

“Saya serahkan kepada Boateng untuk menyusun pemain, tetapi saya harap dia akan menurunkan barisan terbaik untuk menentang Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Azman berharap, Kelantan mampu bangkit selepas dikejutkan 0-1 oleh Felda United dalam perlawanan terakhir Liga Super, Sabtu lalu.

Katanya, The Red Warriors tidak mempunyai pilihan kecuali menang pada perlawanan itu untuk mengembalikan keyakinan penyokong.

“Saya akui pemain sedikit tertekan selepas kekalahan tempoh hari, namun harap mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan tersebut,” ujarnya.

Azman turut mengingatkan barisan pemain Kelantan supaya tidak mengambil mudah kemampuan Kuala Lumpur, biarpun pasukan tersebut sedang bergelut dalam Liga Perdana.

“Kita tidak boleh ambil mudah kemampuan Kuala Lumpur. Mereka pastinya datang dengan kekuatan luar biasa dan mungkin telah tahu kekuatan Kelantan.

“Jadi kita perlu waspada dengan kemampuan pasukan lawan dan bermain dengan penuh sema­ngat,” tegasnya.

Sumber daripada - Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur