MAKLUMAT TERKINI

Ashfaq Bikin Resah

17 Mac, 2015

AZMAN (kanan) resah ketiadaan Ashfaq.


Kuala Lumpur: Ketiadaan penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ashfaq Ali benar-benar mengganggu perancangan pengendali Azman Adnan ketika bertemu Sime Darby FC dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Menurut Azman, 44, penyerang berbisanya itu mengalami kecederaan hamstring ketika aksi menentang Perak Sabtu lalu membuatkan mereka tiada pilihan lain selain merehatkan tonggak import itu.

“Dia mengalami kecederaan. Apapun, saya akan berbincang dengan pegawai perubatan dulu petang ini (semalam) dan jika benar dia tidak mampu bermain saya terpaksa gugurkan namanya.

“Ketiadaannya sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukan. Bagaimanapun, kami masih mempunyai beberapa pemain lain yang boleh mengisi tempatnya,” katanya.

The Cops yang masih segar dengan kemenangan 3-1 ke atas Perak minggu lalu, tetap berazam mahu meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Piala FA, biarpun mengakui cabaran getir yang bakal ditempuhi apabila berdepan Sime Darby nanti.

“Sime Darby mengikat antara pasukan terkuat saingan Liga Malaysia, Johor DT (Johor Darul Ta’zim) Sabtu lalu.

“Jadi bagi saya, pertemuan itu pasti sukar dan pemain saya diingatkan agar jangan mengambil mudah aksi itu. Kami perlu bermain seperti biasa dan cuba mengawal tempoh perlawanan dari mula untuk menekan pemain lawan.

“Saya percaya jika pemain fokus, kami dapat meraih kemenangan dan mara ke suku akhir,” katanya.

Sumber daripada - Mohd Firdaus Hashim, firdaushashim@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur