MAKLUMAT TERKINI

FAM Gantung Patrick Ronaldinho 6 Bulan

16 Mac, 2015



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman penggantungan selama enam bulan terhadap penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh serta penggantungan tiga perlawanan terhadap rakan sepasukannya, Fazli Baharudin, demikian menurut laman web rasmi FAM, hari ini.

Kedua-dua mereka melakukan salah laku ketika perlawanan pusingan kedua Piala FA bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Stadium Pasir Gudang, 28 Februari lalu.

Ronaldinho Wleh, 25, berasal dari Liberia didapati bersalah dan digantung sehingga 11 September depan mengikut peruntukan di bawah Artikel 51.1 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan kerana berkelakuan ganas terhadap pengadil.

Namun, jawatankuasa berkenaan yang bermesyuarat Khamis lalu memutuskan untuk menggunapakai Artikel 35 Kod FAM berkenaan penggantungan sebahagian pelaksanaan hukuman di mana pemain dikenakan penggantungan tiga bulan pertama dari 12 Mac hingga 11 Jun dan penggantungan tiga bulan kedua dari 12 Jun hingga 11 September akan ditangguh terlebih dahulu, tertakluk kepada kelakuan baik pemain.

Bagi Fazli, 29, pula dia didapati bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan gerak laku lucah terhadap pengadil perlawanan dan dikenakan penggantungan tiga perlawanan bertemu Kedah (6 Mac lalu), JDT II (13 Mac lalu) dan Negeri Sembilan (NS) Matrix, 3 April ini.

Kedua-dua pemain turut diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

PKNS FC bagaimanapun dibenarkan untuk membuat rayuan mengenai keputusan penggantungan kedua-dua pemain berkenaan.

Sumber daripada - Berita Harian Online www.bharian.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur