Frenz United Bertapa Di Jepun Sebelum ACT
18 Mac, 2015
Balachandran anggap peluang terbaik anak buahnya menimba ilmu di Liga Jepun.
SEBAGAI persiapan sebelum bermulanya kejohanan Trofi Cabaran Asia (ACT) pada pertengahan tahun 2015 nanti, Akademi Bola Sepak Frenz United mula mengorak langkah dan mula melakukan persiapan awal termasuk menyertai kejohanan antarabangsa.
Frenz United akan bertapa di negara Matahari Terbit bagi menyertai kejohanan Cabaran Liga Jepun B16 2016 di Kashima bermula 22 hingga 25 Mac ini.
Penyertaan tersebut atas jemputan Liga Jepun selepas beberapa usaha sama telah dijalankan kedua-dua pihak termasuk membawa masuk dua kelab dari Jepun, Kashima Antlers dan Gamba Osaka pada kejohanan Frenz International Cup (FIC) 2015, Januari lalu.
S Balachandran selaku ketua jurulatih menganggap kejohanan ini peluang terbaik buat pasukannya untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin.
“Kita serba maklum dengan tahap bola sepak negara Jepun yang lebih jauh ke hadapan berbanding dengan bola sepak Malaysia.
“Pembangunan bola sepak di sana juga sangat teratur. Buktinya, kebanyakan pemain muda mereka mempunyai kemahiran teknikal yang cukup baik,” katanya.
Dalam kejohanan itu nanti, Frenz United diundi dalam Kumpulan B bersama dengan salah satu juara mini kejohanan edisi lalu, Avispa Fukuoka serta tiga pasukan, Tokyo Verdy, Blaublitz Akita dan Kashima Antlers.
Sumber - WARTAWAN SINAR HARIAN, Sinar Harian
www.sinarharian.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur