MAKLUMAT TERKINI

Percaturan Karathu Menjadi

19 Mac, 2015

Ipoh: Percaturan jurulatih Perak Datuk M Karathu dengan menganalisa kekuatan lawan dalam dua perlawanan terdahulu berjaya membawa pasukannya ke suku akhir saingan Piala FA selepas menumpaskan T-Team 2-1 di Stadium Perak, kelmarin.

Dibelenggu masalah kecederaan tonggak utama termasuk ada yang digantung perlawanan, serta ditambah aksi jentera serangan longlai dan kekalahan 1-3 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di gelanggang sendiri, Sabtu lalu, The Bos Gaurus bertindak cemerlang untuk menumpaskan pelawat dari Liga Perdana itu.

Strategi pertempuran hasil analisis dua perlawanan terdahulu T-Team iaitu ketika menumbangkan Negeri Sembilan (NS) Matrix 5-3 dalam saingan Liga Perdana serta membenam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 pada pusingan kedua Piala FA, nyata membuahkan hasil.

“Melihat kepada dua perlawanan itu, nyata barisan penggempur T-Team amat bagus dan saya tahu Perak bakal berdepan masalah mengekang mereka, namun pemain beraksi dengan baik dan bermain mengikut perancangan ditetapkan,” kata Karathu ketika dihubungi semalam.

Katanya, Perak mampu mencatat jaringan lebih besar jika mempunyai sekurang-kurangnya seorang penyerang berkaliber dengan penyudahan baik.

“Buat masa ini, kami hanya mengharapkan sentuhan pemain import Namkung Woong untuk membolosi gawang lawan dan ia pasti bermasalah jika pemain itu menghadapi kecederaan.

“Jadi, apabila sudah mendahului dengan dua gol, saya pastikan benteng diperkukuhkan dan sesekali melakukan serangan balas pada separuh masa kedua. Jika terus beraksi menyerang seperti separuh masa pertama, kemungkinan kami boleh dibolosi.

“Namkung yang dilihat menghadapi masalah kekejangan otot terpaksa dikeluarkan bagi mengelak menghadapi kecederaan lebih serius,” katanya.

Sumber - Oleh Muhammad Apendy Issahak, apendy@hmetro.com.my , Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur