Dollah Panggil Wan Zack, Gopi
20 Mac, 2015
PEMAIN-pemain membuat larian memanaskan badan sebelum memulakan sesi latihan
Harimau Malaya untuk persediaan menentang Oman, di padang Wisma FAM,
Petaling Jaya semalam. Utusan/FAUZI BAHARUDIN
PETALING JAYA - Percubaan kali pertama Dollah Salleh untuk menguji dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Junior Eldstal dan S. Chanturu tidak kesampaian apabila kedua-dua pemain itu disahkan cedera dan terpaksa melupakan hajat ke Muscat, Oman.
Ketiadaan mereka berdua membuka ruang kepada pemain tengah Kelantan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan pemain Pahang, R. Gopinathan sebagai pengganti.
“Ada dua pemain yang saya terpaksa gugurkan iaitu Junior dan Chanturu, jadi sebagai pengganti saya bawa Wan Zack serta Gopinanthan yang sebelum ini ada dalam senarai menunggu.
“Junior mendapat kecederaan di betis, ketika dia datang ke Wisma FAM pada Rabu lalu, dia datang dalam keadaan bertongkat manakala Chanturu cedera buku lali.
“Setelah diperiksa oleh fisioterapi, mereka berdua disahkan tidak dapat beraksi,” katanya semasa sesi latihan Harimau Malaya semalam.
Harimau Malaya bakal terbang ke Muscat pada 23 Mac untuk menghadapi pasukan ke-96 dunia, Oman. Pertemuan persahabatan itu merupakan ujian sulung untuk Dollah pada tahun 2015.
Dalam sesi latihan semalam, Safiq Rahim meminta pengecualian kerana perlu menghadiri majlis kesyukuran namun dia akan kembali hadir bersama skuad Harimau Malaya pada hari ini.
Mengulas kelibat pemain muda seperti Akram Mahinan dan Che Rashid Che Nasir yang menyertai kem Harimau Malaya buat pertama kali, Dollah berkata, pertemuan dengan Oman bakal menjadi medan untuk menilai kemampuan mereka.
“Saya rasa tiba masanya mereka diuji, aksi persahabatan seperti ini yang paling sesuai,” katanya.
Sumber - MUHAMMAD DAYNE AZMIN, Utusan Online
www.utusan.com.my