Gagal KPI, Apa Nasib Razip?
2 April, 2015
PEMAIN-PEMAIN negara memberi hormat kepada penyokong selepas kalah 1-2
kepada Vietnam dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan Kejohanan
Bawah 23 AFC di Shah Alam minggu lalu. UTUSAN/Nasirruddin Yazid
SHAH ALAM – Ke manakah hala tuju jurulatih bawah 22 tahun negara Razip Ismail selepas gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu mara ke pusingan akhir Kejohanan Bawah 23 AFC 2016 di Doha, Qatar apabil tewas 0-1 kepada Jepun dalam saingan terakhir Kumpulan I kelmarin.
Adakah wajar khidmat Razip dikekalkan lagi untuk menghabiskan baki tempoh penyertaan mereka dalam Liga Singapura (S-League) hingga November ini jika prestasi yang dipamerkan Nazirul Naim Che Hashim dan rakan-rakan sepanjang pusingan kelayakan kejohanan itu dijadikan kayu ukuran?
Walaupun menjuarai kejohanan jemputan iaitu Piala Bangabandhu pada awal Februari lalu, prestasi yang tidak menentu dipamerkan oleh skuad ini terutama ketumpulan di jentera serangan membuatkan ramai berasa sangsi sejauh mana keupayaan Razip untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada 16 pasukan yang akan bersaing di Qatar.
Tanpa kejayaan membanggakan sepanjang karier bergelar jurulatih, terutama dengan pasukan Kuala Lumpur, segala kepincangan itu terserlah dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan apabila Harimau Muda terkial-kial ketika menentang Vietnam dan Macau.
Paling menghampakan sudah tentu dalam perlawanan dengan Vietnam yang memperlihatkan skuad negara seperti hilang arah di atas padang sama ada ketika menyerang atau bertahan. Pemain-pemain negara cukup pasif semasa situasi tanpa bola, sekali gus menimbulkan persoalan taktikal sebenar yang diterapkan Razip.
Apa yang berlaku mengundang persoalan adakah tindakan FAM yang dilihat tergesa-gesa menukar khidmat Datuk Ong Kim Swee dengan Razip pada penghujung November tahun lalu sebagai satu tindakan tepat?
Razip yang sempat ditanya mengenai masa depannya ekoran gagal memenuhi KPI, jelas memilih jalan selamat apabila dia tidak mahu menjawab dan menyerahkan segala-galanya kepada FAM sambil mempertahankan anak-anak buahnya telah memberikan yang terbaik.
“Soal KPI saya, semuanya terserah kepada FAM namun ingin diperjelaskan, kami melalui pusingan kelayakan yang sukar kerana diundi bersama Vietnam dan Jepun, memang sukar buat mana-mana pasukan jika berada dalam kedudukan kami.
“Kegagalan kami sebenarnya banyak terletak dalam perlawanan pertama apabila tewas kepada Vietnam, itu menjadi punca kepada segala-galanya dan jika kami menang, mungkin ceritanya berbeza hari ini.
“Walau apapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan secara keseluruhan biarpun kami tidak BERJAYA memenuhi sasaran yang ditetapkan dan untuk berlaku adil, saya enggan mengulas lanjut mengenai KPI saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan Malaysia dan Jepun di Stadium Shah Alam kelmarin.
Dalam masa sama, Razip turut berasakan Harimau Muda seperti mencapai kemuncak prestasi terlalu awal di Bangladesh ketika mereka menjuarai Piala Bangabandhu apabila menewaskan pasukan senior tuan rumah dalam perlawanan akhir.
“Persiapan kami sebenarnya langsung tidak berdepan sebarang masalah dan kami mampu muncul juara Piala Bangabandhu, namun untuk membandingkan prestasi kami di sana dengan kejohanan ini, saya rasa berlainan sama sekali.
“Mungkin kami telah mencapai kemuncak prestasi semasa di Bangladesh dan itu memberi sedikit kesan terhadap persembahan kami secara keseluruhan sepanjang bersaing di sini.
“Ini merupakan kali kedua kita gagal layak dan saya tahu seluruh Malaysia berasa sedih kerana gagal kali ini tetapi semua pihak kena terima hakikat, selain tuah juga tidak menyebelahi kami kerana mendapat kumpulan yang sukar,” katanya.
Sumber - MUHAMMAD DAYNE AZMIN, Utusan Online
www.utusan.com.my