MAKLUMAT TERKINI

Terengganu Ikat Farran

2 April, 2015

TIMBALAN Presiden PBSNT, Marzuki Sulong (dua dari kiri) bersalaman dengan Farran.


Kuala Terengganu: Terengganu akhirnya menamatkan pencarian pemain import keempat apabila mengikat pemain Kanada, Issey Morgan Nakajima Farran untuk menguatkan jentera tengah pasukan.

Berikutan pengesahan itu bermakna pemain kelahiran Portugal, Jaime Braganca yang sebelum ini menjadi isu panas antara Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan kelab penyokong negeri akhirnya terlerai dengan pemain itu sah diketepikan.

Setiausaha Agung PBSNT Arpin Draman berkata, pemain berusia 30 tahun itu yang mengisi kuota pemain import Asia akan beraksi bersama Terengganu sehingga tamat saingan Piala Malaysia musim ini.

“Hari ini (semalam) kita sudah menandatangani kontrak dengan Farran,” katanya.

Ketika ditanya mengenai soal gaji yang sebelum ini terlalu tinggi diminta pemain itu, Arpin memaklumkan hasil perbincangan dengan Farran menemui jalan penyelesaian dan pemain itu kini dalam proses pemeriksaan perubatan serta perkara berkaitan prosedur ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Walaupun pemeriksaan kesihatan masih lagi dalam proses kami yakin pemain itu tidak menghadapi masalah menyarung jersi Terengganu,” katanya yang tidak mahu menunggu sehingga tarikh tutup pendaftaran jendela kedua pada 28 April ini untuk mendaftarkan pemain itu.

Ketika ditanya adakah pemain yang pernah beraksi bersama kelab Crystal Palace itu akan membuat penampilan menentang Kelantan, Sabtu ini, Arpin yakin tempoh empat hari untuk menyelesaikan semua dokumen mampu dilaskanakan bagi membolehkan pemain itu diturunkan.

Sumber - Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur