Gary Lega 'Bebas' Awal
FAM Turut Beri 'Diskaun' Kepada PBNJ
3 April, 2015
GARY STEVEN ROBBAT
KUALA LUMPUR - KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meringankan hukuman Gary Steven Robbat amat melegakan pemain tengah Harimau Malaya itu, yang kini boleh memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukan baharu.
Jawatankuasa Rayuan FAM yang bermesyuarat semalam memutuskan penggantungan Gary yang sepatutnya tamat pada 16 April dipendekkan kepada 2 April.
Itu bermakna, pemain tersebut diberi pelepasan untuk beraksi dan menjalani latihan bersama pasukan baharunya, Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula semalam.
Jawatankuasa berkenaan turut bersetuju mengurangkan denda RM50,000 yang dikenakan terhadap Gary kepada RM20,000.
Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang sebelum ini didenda RM100,000 turut diberi ‘diskaun’ dengan hanya perlu membayar RM50,000.
“Sudah tentu saya gembira endengar keputusan Jawatankuasa Rayuan ini kerana dapat beraksi lebih awal dan mahu memberi komitmen penuh kepada pasukan baharu.
“Cuma saya akui kecergasan sekarang untuk bermain dalam perlawanan berada ketika ini berada di tahap minimum kerana sudah lama tidak beraksi, memang susah untuk berada 100 peratus dan saya kena bekerja keras.
“Harapan saya dengan kebenaran awal yang diberikan FAM dapat pertingkatkan peluang saya untuk terpilih sama ada dalam skuad Sukan SEA atau kebangsaan yang akan bermain di pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019,” kata Gary kepada Utusan Malaysia.
Jawatankuasa Rayuan yang dipengerusikan, A. Ghanarajah berpendapat, mereka telah bertindak mengikut prinsip yang ditetapkan sebagai badan persidangan terakhir FAM, malah boleh dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Malaysia.
Penamatan penggantungan dan denda itu bermakna Gary bebas memilih haluannya selepas ini dan dia dijangka bakal mengadakan latihan rasmi bersama JDT bagi saingan Liga Super dan Piala AFC.
Gary juga mengakui, dia berasa terkejut dengan keputusan FAM, namun bersyukur kerana pada akhirnya dibenarkan kembali menjalani latihan bola sepak secara rasmi.
Sebelum ini pada 16 Januari lalu, Jawatankuasa Status FAM yang dipengerusikan Datuk Takiyuddin Hassan memutuskan pemain yang berasal dari Kulim, Kedah itu bersalah kerana melanggar peraturan FAM mengenai perpindahan pemain.
Gary yang menjadi rebutan tiga pasukan antaranya Kedah, Pahang dan JDT telah menandatangani kontrak secara tidak sah bersama JDT pada 21 November lalu tetapi belum menerima surat pelepasan daripada FAM yang dikeluarkan pada 1 Disember 2014.
Jawatankuasa Status turut memutuskan Gary merupakan seorang ejen bebas walaupun pemain terbabit berasal dari Kedah kerana memulakan karier selaku pemain bola sepak profesional di Harimau Muda C.
Sumber - MUHAMMAD DAYNE AZMIN, Utusan Online
www.utusan.com.my