MAKLUMAT TERKINI

Kim Swee Jumpa Dollah Bincang Isu Pemain

4 April, 2015

NAZIRUL NAIM


KUALA LUMPUR – Pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee akan bersemuka dengan jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh untuk mencari penyelesaian berhubung pemilihan pemain pasukan masing-masing.

Kedua-dua jurulatih itu kini dalam dilema untuk memilih pemain kerana ada kemungkinan akan berlaku pertindihan dengan senarai pemain rakan sejawatan mereka.

Dollah perlu membentuk pasukan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 manakala Kom Swee memerlukan pemain untuk Sukan SEA tahun ini yang ke­semuanya hampir berlangsung serentak.

Skuad Kim Swee bakal memulakan cabaran di Sukan SEA Singapura terlebih dahulu dan dijadualkan melakukan sepak mula pada 29 Mei ini. Jika melepasi peringkat kumpulan, separuh akhir pula berlangsung pada 13 Jun, manakala final pada 15 Jun.

Harimau Malaya pula akan ber­aksi dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan dalam kelayakan Piala Dunia 2018 yang dijadual pada 11 Jun dan 16 Jun.

Kim Swee, 45, ketika dihubungi Utusan Malaysia bagaimanapun berkata, situasi tersebut adalah perkara biasa dan pernah terjadi sewaktu Harimau Malaya dikendali­kan oleh Datuk K. Rajagobal beberapa tahun lalu.

“Biarlah saya berbincang dengan dia (Dollah Salleh) dan pihak dalaman terlebih dahulu. Saya tak boleh komen sebab perkara ini pun kita baru tahu.

“Kedua-duanya bagi saya mempunyai kepen­tingan masing-masing dan kami akan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian.

“Saya pun dah biasa dengan perkara seperti ini. Semasa dengan Datuk K. Rajagobal pun sama juga. Jadi, tunggu minggu depan untuk saya ulas perkara ini,” katanya.

Kelmarin, Dollah, 52, berkata, perbincangan perlu diadakan dengan Kim Swee agar tidak berlaku pertindihan pemain semasa proses pendaftaran.

Antara pemain yang berpotensi menjadi re­butan Kim Swee dan Dollah ialah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Gary Steven Robbat yang dicanang bakal diberi peranan ketua pasukan skuad Sukan SEA 2015.

Selain itu, turut menjadi tumpuan ialah Mohd. Farhan Roslan (Kedah), Mohd. Nazmi Faiz Mansor (Sela­ngor), Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda) dan Mohd. Akram Mahinan (JDT II).

Dollah bagaimanapun berkata, buat masa ini beliau belum terfikir soal penyenaraian pemain kerana masih mahu melihat sejauh mana ­prestasi mereka sepanjang bulan ini.

Sumber - Utusan Online www.utusan.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur