MAKLUMAT TERKINI

Lindung Pemain!

6 April, 2015

RODRIGUEZ (tengah) diasak Palacios.


Johor Bahru: Kelicikan pemain import baru Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Patricio Rodriguez perlu dilindungi pengadil perlawanan bagi mengelak menjadi mangsa terjahan keras melampau.

Itu saranan pengendali Johor DT Bojan Hodak yang agak kecewa apabila Rodrigeuz sering jadi mangsa terjahan keras pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menghalang pergerakan liciknya.

“Jika mahu melihat keindahan bola sepak dalam Liga Malaysia dengan corak permainan menarik, pengadil perlawanan harus memberi yang terbaik dengan memastikan tiada terjahan keras melampau.

“Penyokong hadir di stadium untuk melihat permainan bola sepak berkualiti dan jika pengadil mampu mengawal perlawanan dengan baik sudah pasti mutu bola sepak akan meningkat dengan pemain import mempamerkan aksi menarik,” katanya.

Rodriguez menjadi penyumbang kemenangan skuad Harimau Selatan apabila dua gerakan menariknya menyaksikan Mohd Amri Yahyah mencipta jaringan pada minit ke-32 selepas ketinggalan menerusi jaringan awal penyerang import ATM, Jerry Palacios.

Bersambung babak kedua, Rodriguez menjadi duri dalam daging buat skuad kendalian B Sathiananthan apabila bola umpanan tepat kepada kapten Safiq Rahim membolehkan pemain tengah itu melencongkan bola untuk gol kemenangan bagi keputusan 2-1.

Apapun, Hodak yakin Rodriguez dan Alhaji Kamara yang pertama kali diturunkan tidak berdepan masalah menyesuaikan diri sebelum aksi menentang LionsXII di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

“Patricio baru seminggu berlatih manakala Alhaji lebih singkat iaitu dua hari sekali gus menyebabkan kedua-dua pemain itu belum memahami corak taktikal yang saya terapkan.

“Kecederaan dialami Hariss Harun memaksa saya mengeluarkannya pada minit ke-20 babak pertama, namun kecederaan itu tidak begitu serius dan dia dijangka pulih sepenuhnya sebelum aksi seterusnya.

“Hanya Marcos Antonio tidak dapat diturunkan pada aksi di Singapura nanti selepas mengumpul tiga kad kuning dan digantung satu perlawanan dan saya akan kenal pasti pengganti pemain itu bagi mengukuhkan benteng pertahanan,” kata Hodak.

Sumber - Oleh Rizar Mohd Noor, rizar@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur