MAKLUMAT TERKINI

Gary Teruja Aksi Sulung Sukan SEA

7 April, 2015

GARY sudah mula berlatih bersama Johor DT.


Kuala Lumpur: Peluang pemain tengah Gary Steven Robbat beraksi buat kali pertama di pentas Sukan SEA kini terbuka luas apabila disenaraikan jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Datuk Ong Kim Swee bersama 28 lagi pemain ke Singapura pada Jun.

Pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu terlepas untuk membuat penampilan di Jakarta 2011 dan Myanmar 2013 akibat kecederaan dan berikutan usianya kini mencapai 22 tahun, Singapura menyediakan peluang terakhir untuknya memburu pingat emas di temasya dwi tahunan itu.

Tanpa sebarang aksi kompetitif setakat ini selepas digantung tiga bulan kerana menandatangani kontrak dengan dua pasukan serentak - Johor DT dan Pahang, Gary pasti lega apabila masih diberi kepercayaan untuk bersama skuad negara.

“Memang gembira kerana dipilih menyertai skuad Sukan SEA. Tanggungjawab ini besar kerana saya perlu membalas kepercayaan jurulatih. Saya tidak beraksi dalam dua kejohanan sebelum ini akibat kecederaan dan ini peluang terakhir saya,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selepas hukuman penggantungannya disingkatkan ke 2 April berbanding tarikh asal 16 April, Gary kembali menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan namun dia mengakui perlu segera meningkatkan tahap kecergasan.

Walaupun sempat menjalani latihan bersama kelab Bundesliga Borussia Dortmund selama hampir dua bulan sepanjang tempoh penggantungan itu, Gary yang menjadi tonggak Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Disember lalu harus kembali mendapatkan rentak dalam aksi kompetitif.

“Tahap kecergasan masih kurang dan saya belum beraksi dalam mana-mana perlawanan setakat ini, perlu berusaha lebih keras. Kedudukan saya bersama pasukan Sukan SEA juga belum selamat kerana jurulatih hanya akan membawa 20 pemain dalam skuad terakhir.

“Memang latihan bersama Borussia Dortmund sedikit-sebanyak membantu dari segi permainan tapi saya berharap dapat segera beraksi bersama Johor DT untuk mendapatkan kecergasan perlawanan,” katanya.

Sumber - Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur