Sedia Terima Mat Yo
9 April, 2015
Kuala Terengganu: “Jika Mat Yo serius mahu menyarung jersi Terengganu, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” kata Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman.
Bagaimanapun, Arpin berkata, Mat Yo atau nama sebenarnya Nor Shahrul Idlan Talaha perlu menyelesaikan perkara berkaitan perpindahan dengan majikannya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlebih dulu.
“Kami tidak mahu bermasam muka dengan pihak pengurusan ATM berhubung hasrat pemain itu mahu menyarung jersi Terengganu, tapi biarlah mengikut prosedur ditetapkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia,” katanya.
Ketika ditanya sama ada PBSNT serius mahu mendapatkan khidmat penyerang Harimau Malaya itu, Arpin mengakui memang berminat bagi memantapkan jentera serangan.
“Kami memang serius mahu mendapatkannya dan kini dalam proses perbincangan berhubung soal kontrak dan gaji. Tapi urusan dengan majikannya, kami minta dia selesaikan sendiri.
“Selain itu jika majikannya meminta PBSNT menebus kontrak, kami tidak akan berbuat demikian sebaliknya akan membantu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi membolehkan Mat Yo bersama Terengganu sebelum jendela perpindahan kedua ditutup pada 28 April,” katanya.
Sebelum saingan liga membuka tirainya Februari lalu, bekas pemain Johor Darul Ta'zim (Johor DT) itu sudah dipancing PBSNT namun ditolak dan sebaliknya pemain kelahiran Besut berkenaan memilih ATM yang dikendalikan B Sathianathan.
Sumber - Oleh Malik Muhamad, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro
www.hmetro.com.my
Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur