Sukan SEA: Davies Belum Dijamin Slot Automatik - Kim Swee
8 April, 2015
MATTHEW Davies 20, menjalani latihan selepas menandatangani kontrak bersama
Pahang FA di Stadium Darul Makmur - Foto Mohd Rafi Mamat
KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee menafikan slot terakhir untuk senarai 30 pemain bagi pendaftaran awal ke Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini sudah sah menjadi milik pemain tempatan baharu Pahang, Matthew Davies secara automatik.
Semalam, Davies, 20, bekas pemain pertahanan kanan Perth Glory FC kelahiran Australia yang bapanya rakyat Australia tetapi ibunya berasal dari Sabah diperkenalkan sebagai pemain baharu Pahang untuk didaftarkan pada perpindahan kedua yang dibuka dari 1 April lalu hingga 28 April ini.
Namun, Kim Swee mahu melihat terlebih dahulu persembahan Davies apabila Pahang turun bertemu Kelantan di Kota Bharu, Sabtu ini sebelum membuat keputusan akhir untuk menyenaraikan namanya dalam skuad Sukan SEA.
"Bagi saya, bukan tiket automatik untuk dia terus kita senaraikan dalam pendaftaran Sukan SEA itu. Saya perlu lihat aksinya hujung minggu ini dan berkomunikasi dengan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan untuk mengetahui perkembangannya dalam sesi latihan.
"Saya perlu melengkapkan senarai pendaftaran awal 30 pemain Sukan SEA itu minggu depan, kalau tak silap saya pada 15 April. Jadi saya perlu melakukan penilaian terakhir sebelum memasukkan nama pemain ke-30," kata Kim Swee ketika dihubungi, petang ini.
Isnin lalu, Kim Swee hanya mengumumkan nama 29 pemain tetapi merahsiakan identiti pemain ke-30 dalam senarai pendaftaran awal Sukan SEA 2015 yang saingan bola sepaknya bakal bermula 29 Mei ini.
Andai Davies menjadi pilihan, sudah pasti ia melegakan Kim Swee yang hanya mempunyai tiga pilihan di posisi pertahanan kanan - Arip Amiruddin (PKNS FC), Che Rashid Che Halim (JDT II), Ariff Farhan Md Isa (Harimau Muda).
Untuk senarai akhir bagi temasya berkenaan, setiap pasukan perlu menamakan 20 pemain, sehari sebelum saingan bermula.
INFO
Senarai 29 pemain untuk pendaftaran awal Sukan SEA 2015
PENJAGA GOL: Farhan Abu Bakar (HM), Firdaus Muhamad (KED), Syazwan Yusoff (KEL)
PERTAHANAN: Amer Saidin (JDT), Shahrul Saad (FELDA), Syazwan Tajudin (KED), Wan Amirzafran Wan Nadris (HM), Arip Amiruddin (PKNS), Che Rashid Che Halim (JDT II), Ariff Farhan Md Isa (HM), Fandi Othman (JDT), Arif Fadzillah Abu Bakar (T-TEAM), Nazirul Naim Che Hashim (HM)
TENGAH: Gary Steven Robbat (JDT), Akram Mahinan (JDT II), Nazmi Faiz Mansor (SEL), Saiful Ridzuwan Selamat (SEL), Amirul Hisyam Awang Kechik (HM), Nor Azam Abdul Azih (PAH), D Saarvindran (PAH), Syahrul Azwari Ibrahim (HM), Faizat Ghazli (HM), Farhan Roslan (KED), Nurridzuan Abu Hassan (PRK)
PENYERANG: Rozaimi Abd Rahman (SAB), S Kumaahran (HM), Adam Nor Azlin (HM), Ferris Danial Mat Nasir (FELDA), Syafiq Ahmad (KED)
Sumber - Oleh Wan Fakhrul Bakar, wanfakhrul@bh.com.my, Berita Harian
www.bharian.com.my