Harimau Muda C Harungi Jadual Liga Padat
10 April, 2015
Kuala Lumpur: Kempen Harimau Muda C dalam Liga FAM berakhir lebih awal apabila pasukan bawah 19 tahun negara (B-19) itu dikerah beraksi tiga perlawanan seminggu sejak 24 Mac lalu bagi membolehkan mereka menyertai liga divisyen dua Slovakia 27 Mei hingga 11 Ogos ini.
Berikutan jadual liga dipercepatkan, skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu akan bermain pada perlawanan terakhir menentang PB Melayu Kedah pada 10 Mei sedangkan pasukan lain akan meneruskan saingan hingga Ogos.
Apa yang membimbangkan aksi 15 perlawanan dalam tempoh lebih kurang dua bulan itu bukan saja mengundang rasa tidak puas hati pasukan lain dengan kualiti yang akan ditunjukkan pasukan itu yang tergesa-gesa mahu menghabiskan baki perlawanan malah memberi risiko kecederaan kepada pemain muda.
Bagaimanapun bagi Hassan, dengan memiliki kekuatan 30 pemain dalam pasukan, beliau boleh mengatasi masalah keletihan pemain memandangkan program ke Slovakia itu amat penting kepada persiapan menghadapi Kejohanan AFF B-19 dan Kelayakan AFC B-19 bermula Ogos hingga September depan.
“Sekarang kita cuba mempercepatkan perlawanan liga dengan setiap minggu kita akan bermain tiga perlawanan. Memang banyak perlawanan tapi ia tidak beri masalah besar sebab saya mempunyai 30 pemain untuk digilirkan dalam setiap perlawanan.
“Sebenarnya saya mohon untuk menarik diri daripada liga ini kerana takut beraksi dalam keadaan tergesa-gesa serta menghadapi risiko kecederaan pemain namun pihak FAM mahu saya meneruskan juga kerana ia juga bagi pendedahan pemain,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Harimau Muda C sudah mengharungi tujuh perlawanan dan menduduki tangga kelima daripada sembilan pasukan dalam kumpulan B Liga FAM dengan hanya mencatat satu kemenangan.
Menurut Hassan, kunjungan pasukan ke Slovakia penting dalam mengharungi dua kejohanan itu memandangkan semua pemain belum pernah didedahkan di peringkat lebih tinggi.
“Apa yang dimaklumkan, kami akan bermain lebih kurang 16 perlawanan dalam divisyen dua di sana. Selepas dua minggu pulang dari Slovakia kami akan menghadapi Kejohanan Piala AFF B-19 di Surabaya dan kemudian mengharungi kelayakan AFC pada September.
“Saya cuba membawa 30 pemain ke sana kerana mereka belum ada pengalaman berdepan pemain mempunyai fizikal besar. Mungkin risiko kecederaan ada apabila bermain di sana, kerana itu saya cuba bawa ramai pemain,” katanya.
Sumber - Harian Metro
www.hmetro.com.my