MAKLUMAT TERKINI

Benteng Rapuh!

13 April, 2015

PEMAIN Perak Horace James (dua dari kanan) mengasak pertahanan Terengganu.


Ipoh: Kesilapan benteng adalah faktor menyumbang kekalahan 2-3 Perak di tangan Terengganu dalam saingan Liga Super 2015 di Ipoh, malam kelmarin.

“Saya sudah ingatkan pemain Perak tentang bahaya semasa lawan mendapat sepakan sudut.

“Malangnya pemain terlupa dan gagal menangani situasi itu menyebabkan kami dibolosi dua gol dari gerakan sama,”kata jurulatih The Bos Gaurus (TBG), Datuk M Karathu.

Beliau merujuk kepada gol hasil tandukan Vincent Bikana pada minit 63 dan Helmi Remele (83) dari sepakan sudut. Kedua-dua pemain itu tidak dicabar ketika menanduk masuk melepasi Azizon Kadir. Satu lagi gol skuad Penyu dijaringkan Ismail Faruqi Ashari m-74.

Namun kekecewaan besar Karathu ialah terhadap Charles Souza Chad yang gagal menyelamatkan pasukan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti lima minit sebelum tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, Perak mendahului 1-0 mulai m-20 apabila Namkung Woong menyudahkan gerakan awang import baru, Horace James sebelum pelawat datang dari belakang untuk mendahului 2-1.

Chad bagaimanapun mengikat kedudukan 2-2 melalui rembatan kencang dari hujung kotak penalti untuk muncul wira m-81 tetapi empat minit kemudian menjadi petualang apabila gagal menyelamatkan Perak.

“Kami sepatutnya seri jikapun tidak mengutip mata penuh pada perlawanan ini. Akibat sikap tamak dan pentingkan diri pemain itu, seluruh pasukan terpaksa menanggung akibat,”katanya.

Beliau yang nyata amat kecewa menyalahkan pemain itu dan bercadang memberikan surat tunjuk sebab kepada Chad kerana menyebabkan kegagalan tuan rumah meraih sebarang mata.

“Mungkin dia ingat nak jadi wira dengan mengambil sepakan penalti itu selepas menjaringkan gol penyamaan kami.

“Chad bukan pengambil sepakan penalti yang baik. Ketika bertemu FELDA United FC dia bernasb baik berjaya menyempurnakan penalti walaupun sepakan pertamanya berjaya dihalang.

“Saya sendiri tidak yakin dia mampu menjaringkan gol tetapi hairan kenapa dia mengambil sepakan malam ini (kelmarin). Sepatutnya sepakan itu diambil oleh pemain lain,”katanya.

Sumber - Oleh Azizan Hashim, sukan@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur