MAKLUMAT TERKINI

Harap Tiada Gangguan

13 April, 2015

KIM Swee (kanan) pantau pemainnya jalani latihan.


Kelana Jaya: Pengendali Bawah 23 Tahun (B-23) Negara Datuk Ong Kim Swee tidak mahu berdepan sebarang gangguan menjelang persiapan fasa akhir bermula awal bulan depan untuk menghadapi Sukan SEA Singapura.

Selepas mencapai persetujuan bersama ketua jurulatih negara Dollah Salleh yang memberikan keutamaan kepada Sukan SEA, Kim Swee kini berdepan kemungkinan tersepit dengan saingan separuh akhir dan final Piala FA selain saingan peringkat kumpulan dan pusingan kedua Piala AFC.

“Saya sangat berharap pada persiapan fasa akhir bermula 3 Mei, tiada sebarang masalah timbul. Saya sedar ketika itu separuh akhir Piala FA dan pusingan kedua Piala AFC akan berlangsung. Saya amat berharap 30 pemain berada dalam kem latihan pusat sehingga bertolak ke Singapura untuk menghadapi Sukan SEA,” katanya pada sesi latihan fasa ketiga di Wisma FAM semalam.

Beberapa pemain dijangka terbabit dengan saingan separuh akhir Piala FA (15 dan 16 Mei) dan final pada 23 Mei adalah Che Rashid Che Halim, Muhammad Akram Mahinan (Johor DT II), Mohammad Nurridzuan Abu Hassan Saari (Perak) dan Matthew Davies, D Saarvindran (Pahang) seandainya pasukan mereka melepasi saingan suku akhir.

Ia bertambah rumit seandainya Johor DT dan Pahang layak ke pusingan kedua Piala AFC membabitkan pemain seperti Mohamad Amir Saidin dan Mohamad Fandi Othman dengan perlawanan dijadualkan berlangsung pada 27 Mei.

“Saya berharap pasukan berkenaan bersedia (untuk melepaskan pemain) kerana perancangan dan jadual sudah dikeluarkan terlebih awal.

“Saingan Sukan SEA memang tidak mendapat pengiktirafan AFC. Namun terdapat syarat dalam kontrak membenarkan kami memanggil pemain negeri untuk mewakili negara,” jelasnya.

Pada masa sama, Kim Swee memberi peringatan kepada pemain agar berada pada tahap kecergasan terbaik seandainya mahu tersenarai ke Singapura.

“Saya tidak memandang latar belakang pemain sama ada pernah bersama saya sebelum ini atau sebagainya... contohnya saya memberi tempoh sehingga penghujung bulan ini kepada Saarvindran untuk mengembalikan keadaan fizikalnya dan merebut tempat untuk diturunkan bersama Pahang atau disingkirkan,” tambahnya.

Mengenai undian Sukan SEA Rabu ini, Kim Swee berharap Malaysia akan diundi dalam Kumpulan A yang mempunyai lima pasukan berbanding Kumpulan B yang mempunyai enam pasukan.

“Lebih bagus kita mempunyai kurang perlawanan. Jadual perlawanan di Sukan SEA sentiasa padat dan seandainya dalam Kumpulan A, pasukan akan beraksi tujuh perlawanan dalam tempoh 14 hari,” jelasnya.

Sumber - Oleh Azlan Muhammad Zain, azlanmz@hmetro.com.my, Harian Metro www.hmetro.com.my
Rakan PPBN

Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Tingkat 3, Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara,
Bukit Jalil, 57700 Sri Petaling, Kuala Lumpur